Halaman

25 April 2011

Peruntukan RM29 juta untuk Program Bakti Remaja

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperutukkan RM29 juta sepanjang tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program untuk belia dalam usaha membentuk golongan itu supaya lebih dinamik, progresif, dan berketrampilan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya mensasarkan lebih 30,000 belia akan menyertai Program Bakti Remaja anjuran bersama Majlis Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri dan Biro Tatanegara Negeri.

“Pada masa sama, program sampingan turut dirangka bagi menarik lebih ramai belia menyertai persatuan sedia ada selain mewujudkan persatuan baru di kalangan masyarakat.

“Kira-kira 1,000 persatuan atau pertubuhan belia diwujudkan melalui 1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1 Belia dengan melibatkan semua kawasan Parlimen di Terengganu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 513 pertubuhan belia berdaftar manakala 200 lagi dalam proses kelulusan.

“Bantuan peruntukan pengurusan akan diagihkan selewat-lewatnya Jun depan bagi mana-mana pertubuhan belia berdaftar dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.