Halaman

29 April 2011

PM lawat Terengganu esok

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kibaran bendera yang siap siaga menyambut kehadiran YAB Perdana Menteri.

Rakyat Terengganu, khususnya penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program sambutan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sudah tidak sabar menunggu kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Lebih 40,000 penduduk terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang diatur sempena Program Turun Padang (PTP) YAB Perdana Menteri di negeri ini.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, dijadualkan tiba pada hari ini pada sebelah malam dan bermalam di Kuala Terengganu.

Beliau akan memulakan lawatan kerjanya esok dengan lokasi lawatan pertama ialah Pekan Batu Enam kira-kira jam 9 pagi. Pekan Batu Enam terletak di kawasan DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus.

Perdana Menteri akan berjalan kaki menemui pemimpin dan rakyat di Peti Undi Batu Enam, DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus selepas menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, dan menyertai gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Selepas itu, Dato’ Seri Mohd Najib dijadualkan ke Bukit Tunggal untuk menyempurnakan program pelancaran Pasar Baru Bukit Tunggal, sebelum bertolak ke Manir untuk program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Beliau juga akan melawat Klinik Kesihatan Masyarakat di Pulau Bahagia manakala sebelah petangnya, Perdana Menteri akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong.

Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional di Taman Shahbandar di mana kira-kira 20,000 orang akan menikmati makan malan bersama-sama pemimpin nombor satu negara.

Majlis tersebut akan diserikan dengan persembahan artis dan tayangan video.