Halaman

27 April 2011

Peruntukan RM564 ribu untuk pelajar aktif sukan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan RM565,000 bagi membayar elaun kepada 690 pelajar sekolah menengah di negeri ini yang aktif di bidang sukan.

Bayaran elaun RM60 sebulan yang dimasukkan ke dalam akaun itu dikhaskan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sukan Bukit Nanas, Setiu serta mereka yang mengikuti kelas sukan di SMK Padang Midin, Kuala Terengganu dan SMK Ampuan Intan, Kuala Berang.

Tidak ketinggalan mana-mana atlit yang terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) dan masih belajar layak menerima elaun yang akan dibayar bermula Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan sama akan dimasukkan ke dalam bajet tahunan kerajaan negeri, bermula tahun depan dan akan disalurkan kepada Yayasan Terengganu.

“Tempoh bayaran elaun bergantung kepada beberapa lama pelajar itu menuntut ilmu di Terengganu, sekiranya mereka belajar sehingga ke tingkatan enam atas pun kita akan bayar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.