Halaman

25 April 2011

JAMUAN RAKYAT PM BERSAMA RAKYAT PADA 30 APRIL MALAM DI TAMAN SHAH BANDAR



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang memberitahu Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak akan menghadiri Jamuan Rakyat kira-kira jam 8.00 malam pada 30 April ini di Taman Shah Bandar Kuala Terengganu.
Ia adalah kemuncuk bagai lawatan Program Turun Padang (PTP) oleh Perdana Menteri kerana jamuan itu dijangka membabitkan 20,000 termasuk semua golongan dan kaum.
Dato’ Tengku Putera menyatakan lawatan PTP oleh Perdana Menteri bertujuan bertemu dan melihat sendiri dari dekat kehidupan rakyat.

Katanya, keseluruhan acara PTP selama sehari itu adalah berkisar kepada pertemuan dan bermesra dengan rakyat.
“Perdana Menteri sudah pesan, tiada protokol untuk rakyat berjumpanya kerana beliau mahu melihat sendiri suasana hidup rakyat,” katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Dato’ Tengku berkata, segala persiapan telah diatur bagi memastikan lawatan PTP oleh Dato’ Sri Mohd Najib mencapai matlamat ke arah 1 Malaysia dan membawa rakyat dan negara ini ke arah tranformasi dalam segala kehidupan baik ekonomi, politik, sosial dan cara berfikir.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd.Nasir Ibrahim Fikri melahirkan terima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said kerana memilih Dun Bukit Tunggal, Parlimen Kuala Nerus sebagai fokus utama lawatan selain Dun Manir,Hulu Terengganu.
“Saya yakin dan percaya, gelombang untuk menebus kembali Dun Bukit Tunggal dari pihak pembangkang akan bertambah kuat mendorong dengan lawatan PTP Perdana Menteri ke Dun ini,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mengharapkan seluruh rakyat, di Parlimen Kuala Nerus,Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, bahkan seluruh negeri ini akan datang ke program-program yang telah diaturkan sebagai sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri.
“Hari ini keyakinan rakyat kepada Dato’ Sri Mohd.Najib begitu tinggi, terbukti melalui beberapa kemenangan besar dalam siri-siri pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri .

CIKGU (DATO') WAN IBRAHIM OTHMAN

Seorang veteran Umno, Dato’ Haji Wan Ibrahim Othman, amat gembira bila diberitahu tentang lawatan turun padang Dato’ Sri Mohd Najib dengan menyifatkan tidak ubah seperti amalan Allhayarham Tun Abdul Razak.
“Dulu saya pernah menyambut Tun Razak di Feri Bukit Datu di Bukit Tunggal, saya masih ingat Tun Razak bersalam dengan hampir keseluruhan rakyat jelata yang berada di pangkalan feri bersejarah itu. Tun Razak juga pernah datang berucap kepada rakyat pada awal tahun 1970 an di halaman rumah saya di Wakaf Tengah dalam pilihanraya kecil Dun Batu Rakit,” katanya yang juga bekas Adun Batu Rakit.
Beliau memberitahu Teganukita walaupun sudah berusia, tetapi akan hadir di majlis Dato' Sri Mohd Najib 'walk about' di Pasar Batu Enam pagi Sabtu ini.