Halaman

24 April 2011

MBKT dan RAMD bekerjasama latih anggota penguatkuasa

Oleh: Esah Abdullah

Semua anggota bahagian penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengikuti latihan fizikal untuk meningkatkan stamina di samping memupuk semangat patriotisme kalangan mereka.

“Latihan akan dijalankan dengan usahasama Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) dalam usaha meningkatkan kecerdasan dan ketangkasan anggota penguatkuasa,” kata Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, usaha begini diharap mampu menjadi pemangkin dalam meningkatkan prestasi kakitangan terutama di jabatan penguatkuasaan dalam melaksanakan tugas yang mencabar ketika melakukan operasi.

“Kecerdasan yang ditonjolkan anggota Batalion RAMD membuktikan semangat kerja berpasukan yang tinggi dan perlu dicontohi semua lapisan masyarakat,” katanya selepas merasmikan majlis Penutup Pameran dan Pertunjukan Tentera sempena sambutan ulang tahun ke-35 batalion berkenaan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion ke-18 RAMD, Leftenan Kolonel Nasharuddin Mohamad dan Penolongnya, Mejar Fauzi Khamis.

Katanya, cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri dalam memerangi isu-isu berkaitan termasuk penyalahguanaan dadah di negeri ini.

Sehubungan itu, pelbagai pengisian sempena sambutan yang berlangsung selama tiga hari, antaranya memberi pendedahan kepada golongan belia berkait bidang ketenteraan serta menarik minat mereka untuk menyertainya.