Halaman

25 April 2011

Pulau Bidong ada capaian internet sejak seminggu lalu

Oleh: Esah Abdullah

Pelancong yang berkunjung ke Pulau Bidong tidak perlu bimbang lagi mengenai capaian internet kerana aplikasi itu sudah berfungsi sejak seminggu lalu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Aziz Deraman berkata, kini mereka boleh melayari internet seberapa kerap yang mereka mahu serta dapat melayan facebook sepanjang berada di pulau berkenaan.

“Kemudahan internet sudah menjadi agenda amat penting sekarang, kerana melaluinya perhubungan antara manusia menjadi lebih pantas,” katanya selepas melancarkan perasmian Hari Bumi 2011 di Dataran Canselor UMT.

Katanya, capaian internet yang menelan belanja RM80,000 itu bertujuan memudahkan penyelidikan UMT menjalankan kerja penyelidikan dan kajian di kawasan itu selain sering menjadi tempat kajian penyelidik daripada pelbagai fakulti terutama Sains Marin.

Menurut Prof Dr Aziz rangkaian tersebut diperolehi melalui satelit IP Star dengan kelajuan empat megabait dan walau pun bersaiz kecil ia mampu menampung keperluan mereka yang berada di sana.

Katanya, hanya sebilangan kecil saja penyelidik yang menjalankan kajian di pulau itu dan berada dalam tempoh tertentu, agak jarang mereka datang dalam jumlah yang ramai.

“Penggunaan saiznya tidak perlu terlalu besar berbanding saiz yang diperlukan dalam kampus UMT yang menampung beribu penuntut dan kakitangan,” katanya.