Halaman

27 April 2011

Kebersihan kawasan masjid ditingkat

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Persekitaran masjid yang bersih meningkatkan imej umat Islam.

Kerajaan negeri sedang berusaha meningkatkan kebersihan kawasan masjid-masjid, termasuk tandas dan persekitarannya bagi memastikan rumah ibadat tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya sedar aspek kebersihan masjid perlu diberi perhatian, teutama masjid-masjid yang berada di tepi jalan utama dan menjadi tumpuan pelawat.

Beliau mengakui masih ada sesetengah masjid di negeri ini yang mengabaikan aspek kebersihan, terutama tandas dan tempat mengambil wuduk.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan imej Islam yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan umatnya,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

YB Ustaz Haji Muhammad Ramli berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Negeri Terengganu bagi memantau kebersihan masjid dan program pengimarahan institusi tersebut.

Katanya, jawatankuasa tersebut dengan dibantu Jawatankuasa Masjid akan mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kebersihan dan pengimarahan masjid di seluruh negeri.

Bagi tujuan tersebut, katanya, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kewangan yang diperlukan bagi menjayakan program pengimarahan dari semasa ke semasa.