Halaman

24 April 2011

YPKT anjur program bersama pakar

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif menganjurkan Program Pemantapan Hubungan Intim Suami Isteri secara berperingkat-peringkat di beberapa kawasan terpilih di negeri ini.

Pendekatan itu dilaksanakan selepas menyedari betapa pentingnya hubungan intim, komunikasi dan kasih sayang antara suami dan isteri, terutama selepas 10 tahun berkahwin.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Pembangunan Komuniti YPKT, Encik Syed Lizam Sukairi Syed Abu Bakar, program berilmu itu akan dikendali khas oleh Pakar Sakit Tuan terkenal, Dr Ismail Thamby bagi membincangkan pelbagai topik dan masalah yang biasa dialami dalam rumahtangga.

Katanya, setakat ini pakar berkenaan telah menyampaikan ceramah di Paka, Kuala Berang, Padang Midin dan akan diteruskan ke kawasan lain mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pihaknya mensasarkan mereka yang sudah berumahtangga terutama warga emas mengikuti program ini di mana di peringkat usia itu mudah dan cenderung untuk mengalami masalah tentang hubungan dalaman dan luaran.

“Kita bukan menekankan kepada isu seksual semata-mata malah lebih luas termasuk bagaimana ingin mengekalkan kerukunan rumah tangga dan bagaimana memahami masalah pasangan,” katanya.