Halaman

27 April 2011

40,000 rakyat dijangka sertai program lawatan PM

Oleh: Suriati Ali


Rakyat Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu sempena Program Turun Padang pada Sabtu ini (30 April).

Lebih 40,000 penduduk termasuk urusetia dijangka terlibat dalam lawatan sehari Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu pada 30 April ini (Sabtu).

Lawatan sempena Program Turun Padang (PTP) itu membabitkan lima lokasi penting di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.45 pagi sebelum memulakan lawatan ke Pasar Batu Enam dan melawat rumah seorang penduduk yang uzur di Kampung Pengkalan Arang.

“Selepas itu beliau akan merasmikan tapak Pasar Bukit Tunggal dan seterusnya melawat Klinik Rakyat di Kampung Pulau Bahagia, Manir dan bertemu rakyat di padang bola di kampung yang sama.

“Pada sebelah petang pula, Dato’ Sri Mohd Najib akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong, sebelum dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional serta menemui rakan laman sosial `facebook’,” katanya.

Menurutnya, pada sebelah malam pula, Perdana Menteri akan menemui kira-kira 20,000 penduduk Terengganu serta menikmati makan malam bersama-sama di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

“Selepas menamatkan program terakhir sempena lawatan kerja sehari itu, beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Terengganu berharap Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira dan istimewa untuk rakyat Terengganu sama ada berkaitan pembangunan mahupun sebarang bentuk bantuan sempena lawatan itu nanti.

“Terengganu bersama Kerajaan Pusat sentiasa menjalin hubungan baik dan setakat ini kita masih lagi menerima peruntukan dalam bentuk geran dan beberapa bantuan lain,” katanya.