Kalangan penuntut dan remaja lepasan sekolah perlu peka terhadap isu semasa yang berlaku dalam masyarakat dan negara serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan agama dan bangsa.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, segala apa yang berlaku di dalam dan luar negara perlu diambil iktibar oleh generasi hari ini.
“Banyak sumber yang boleh kita rujuk sama ada melalui media massa dan media eletronik atau dengan melayari internet,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Taklimat Isu Semasa di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terenganu, Encik Mohd Iskandar Jaafar dan Pengarah ILP, Encik Abdul Halim Abdul Rahman serta 100 peserta terdiri dari penuntut Institut Perguruan Malaysia Kampus Dato’ Razali, ILP dan Kolej Islam Sains dan Teknologi Terengganu (Kist).
Katanya, suka atau tidak, masalah politik, sosial, ekonomi serta isu agama menjadi sebahagian daripada rencah kehidupan hari ini dan sebagai rakyat perlu pertahankan keharmonian yang dinikmati sekarang.
“Golongan pelajar merupakan pewaris kepada kepimpinan hari ini dan mereka perlu bersedia dari sekarang untuk menjadi seorang yang berdaya tahan dan berdaya saing serta dihormati dan disegani,” katanya.
Prgram Gerak Saraf anjuran Jabatan Penerangan ini membabitan tiga pembentangan kertas kerja antaranya ‘isu kenaikan harga barang’ oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT); ‘gejala sosial di kalangan remaja’ oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan ‘1Malaysia’ oleh Jabatan Penerangan.