Halaman

25 April 2011

Peserta kudung kedua tangan curi tumpuan di Kejohanan Kapas-Marang Swimathon

Oleh: Aida Abd Rahman

Daripada keseluruhan peserta yang berjaya menamatkan renangan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai kelulut dalam kejohanan Kapas-Marang International Swimathon, semalam, seorang pemuda paling mencuri tumpuan ramai apabila turut sama mengakhiri cabaran itu walaupun kudung kedua-dua belah tangan.

Zhariff Affandi, 29, dari Bukit Jelutong, Selangor, seorang ahli perniagaan lulusan Psikologi dari Universiti Griffith , Australia membuktikan kecacatannnya bukan halangan untuk bersama golongan normal bagi menyertai kejohanan yang berprestij itu sekaligus menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga.
Dengan catatan dua jam 46 minit 47 saat, Zhariff yang menyertai kategori istimewa mengejutkan banyak pihak selepas menamatkan persaingan yang pertama kali disertainya walaupun berenang hanya bergantung kepada gerakan badan dan kuakan sepasang kaki semata-mata .

“Saya sudah mula terdedah dengan renang sejak usia empat tahun lagi apabila ibu bapa menghantar saya menyertai kelas renang. Daripada situ, saya sentiasa menyertai pertandingan dan kejohanan renang kerana saya sememangnya menggemari aktiviti lasak sejak dulu lagi.

“Saya sudah lama mengetahui mengenai pertandingan ini, bagaimanapun keputusan menyertai hari ini hanya dibuat dua hari lalu dan saya bersama sekumpulan rakan dari Kuala Lumpur terus ke sini bagi sama-sama menyahut cabaran ini,” katanya yang juga seorang peluncur ombak.

Menurut Zhariff, selepas beberapa jam merentasi laut, dia hampir dua kali mahu membatalkan hasrat menamatkan perlumbaan itu akibat kesakitan disengat ampai-ampai selain ombak yang kuat menyebabkan renangannya sedikit terganggu dan meletihkan.

Bagaimanapun, dia akhirnya nekad untuk meneruskan juga kerana mahu membuktikan kemampuannya setanding orang normal serta tidak mahu menghampakan sokongan keluarga, rakan-rakan dan orang ramai yang sentiasa memberi suntikan semangat kepadanya dalam apa jua pembabitan.

“Kalau kita ada kemahuan, pasti segala dugaan dan cabaran dapat dihadapi. Itu tidak menjadi masalah buat kita, apatah lagi jika memiliki fizikal dan pancaindera yang sempurna. Pada saya, semua kita dilahirkan dengan pelbagai variasi dan karakter, ada tinggi, rendah, hidung mancung, hitam dan sebagainya. Itulah kehidupan dan anugerah tuhan yang perlu kita hadapi dan jalani kehidupan dengan terbaik,” katanya.

Selain Zhariff, Mohd Azmeen Kamarulzaman yang baru menjalani pembedahan memasukkan besi di belakang badan, dari Melaka muncul pemenang pertama dengan catatan masa satu jam, 56 minit dan 45 saat, diikuti Mohd Sabki Arifin, dari Terengganu yang kudung sebelah tangan kiri di tempat kedua (2:11:51).

Sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta yang mendaftar pada kejohanan kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut.