Halaman

27 April 2011

SRS bantu kurang jenayah di kampung

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu (JPNIT) dijangka menambah bilangan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada 82 buah tahun lalu kepada 90 buah menjelang akhir tahun ini.

Pegawai JPNIT daerah Kuala Terengganu, Puan Norma Mohd Nor berkata, jumlah berkenaan bagi kawasan Kuala Terengganu sahaja dan tidak termasuk daerah lain di seluruh negeri.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) juga dijangka bertambah kepada 60 daripada 56 tahun lalu,” katanya ketika berucap di majlis Bengkel Pengurusan KRT Zon Utara di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

Katanya, anggota masyarakat yang menyertai SRS akan dilindungi insurans dan jika berlaku kematian akibat kemalangan dan kailatan kekal akibat kemalangan akan menerima pampasan RM20,000 manakala kematian biasa RM1,000.

“Tuntutan perbelanjaan hospital akibat kemalangan (RM1,000) dan elaun kemasukan ke hospital (RM50 sehari) maksimun 30 hari akan diberi kepada anggota SRS dan juga Jawatankuasa KRT,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu sangat mengalu-alukan penubuhan KRT dan SRS di kampung-kampung kerana dapat mengurangkan kadar jenayah dalam membantu mengawal keamanan dan keselamatan dalam kawasan bandar mahu pun di pedalaman.

Terdapat 15 KRT daripada 20 KRT dalam Zon Utara telah menghadiri bengkel berkenaan bertujuan mengemaskini pengurusan serta mengatur perbelanjaan berhemah persatuan.

“Setiap KRT menerima geran pentadbiran setiap tahun bagi mengurus pelbagai aktiviti untuk mengekal semangat perpaduan kalangan masyarakat,” katanya.