YB Haji Muhammad Ramli Nuh menjadi tetamu di Tfm.
Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bakal menerima 40 unit rumah baru di Kampung Padang Nenas bagi menempatkan mereka, terutama golongan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, pembinaan rumah itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri bersama Affin Bank.
“Rumah yang bakal dibina itu dapat menambah bilangan Taman Perumahan sedia ada dan menariknya, keadaan rumah itu lebih selesa berbanding kediaman kos rendah yang dibina sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu radio Terengganufm hari ini (24 April).
Katanya, penduduk yang bercadang menambak tanah bagi membina rumah baru dinasihatkan supaya prihatin dengan keadaan jiran dan kawasan sekeliling.
“Perkara itu perlu diambil serius kerana bimbang akan menimbulkan masalah banjir dan pelbagai kesulitan sekiranya tanah yang ditambak melebihi had.
“Sebagai masyarakat bertamadun, kita perlu buang sikap pentingkan diri sendiri kerana sudah tentu menimbulkan dendam masyarakat setempat sekiranya berlakunya banjir,” katanya.
YB Haji Muhammad Ramli, berkata terdapat 35 kampung di kawasan Tepoh memiliki Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) manakala hampir 23,000 penduduk layak mengundi pada pilihan raya akan datang.
“Kepadatan penduduk terutama di Gong Badak membuatkan harga tanah kawasan itu melambung tinggi sehingga mencecah RM70,000 bagi 500 meter persegi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di beberapa lokasi di DUN Tepoh secepat mungkin.
“Beberapa pendekatan diambil termasuk lebih kerap membersih longkang dan sistem peparitan serta membina saluran laluan air lebih besar berbanding biasa,” katanya.