Halaman

28 April 2011

Terengganu perkenal tagline Comel

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Pelancongan Terengganu memperkenalkan kalendar pelancongan negeri dengan menggunakan tagline 'Comel'.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata Comel adalah singkatan untuk aktiviti yang akan diadakan sepanjang tahun ini iaitu Candat Sotong, Monsoon Cup (Piala Monsun), Endurance Challenge dan Leisure untuk aktiviti larian yang akan diadakan di Pulau Lang Tengah.

Katanya aktiviti itu dimulakan dengan pesta mencandat sotong yang diadakan secara besar-besaran, diikuti dengan acara tahunan seperti kejohanan kuda lasak dan kejohanan kapal layar Piala Monsun.

“Setiap tahun hampir 30 program bertaraf antarabangsa mahupun tempatan dianjurkan semata-mata ingin menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Terengganu selain mencapai sasaran 3.5 juta,” katanya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Antaranya aktiviti yang dianjurkan termasuk Terengganu World International Jetrace Challenge, Kenyir Lake International Swimathon, Pesta Buku Terengganu, Terengganu Masters Golf Invitational, Temasya Pantai Timur, Sultan`s Cup Endurance Challenge dan Pertandingan Gamelan Kebangsaan.