Kerajaan negeri menawarkan RM10,000 kepada setiap jawatankuasa masjid yang berjaya menubuhkan Koperasi Kariah Masjid di kawasan masing-masing bagi tujuan memulakan projek komersial.
Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, hasrat kerajaan adalah mewujudkan satu kampung satu koperasi untuk menjana pendapatan anggota masyarakat.
“Sehingga ini terdapat 489 buah masjid seluruh negeri ,” katanya ketika berucap di majlis Seminar Penubuhan Koperasi kariah Masjid di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu semalam.
Seminar berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri ismail Sabri Yaakob. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Md Yusof samudin dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum.
Seminar sehari anjuran Angkasa, SKM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ini dihadiri lebih 1,200 kariah masjid seluruh negeri dengan pembentangan tiga kertas kerja dari SKM dan JHEAT.
Katanya, pendekatan Angkasa ini sangat baik kerana melalui penubuhan koperasi banyak pembangunan ekonomi dapat dijalankan dikalangan ahli-ahli kariah dan berharap usaha murni ini dapat diterjemahkan ke arah pembangunan ummah.
“Usaha ini jika digabungkan semua kariah masjid tentu dapat melahirkan begitu banyak peluang peniagaan dikalangan masyarakat setempat dan kerjasama dalam bidang perniagaan dapat ditingkatkan dengan semangat kerjasama dan saling membantu,” katanya.
Sehubungan itu, Dato’ Mohamed berkata kerajaan akan cuba membantu sedaya upaya bagi menjaya dan memajukan koperasi kariah masjid ini untuk kebaikan rakyat seluruhnya.