“Penduduk Bukit Tunggal cukup menghargai lawatan pemimpin utama negara, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dijangka melawat kawasan kampung kami dan mengumumkan berita gembira pembinaan Pasar Bukit Tunggal sempena Program Turun Padang (PTP), esok (30 April).
“Kami semua terutama peniaga sudah lama membuat pelbagai persediaan, termasuk berganding bahu membersih kawasan dan susun atur urusetia yang terlibat bagi menerima kunjungan Perdana Menteri,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Bukit Tunggal, Haji Mazalim Endut atau lebih dikenali sebagai Haji Mazlan.
Haji Mazlan berkata, sekiranya benar, Dato’ Sri Mohd Najib mengumumkan pasar baru bagi menggantikan pasar sedia ada atau dikenali `pasai koboi’ ia adalah satu berita paling menggembirakan penduduk terutama peniaga yang rata-ratanya menanti hampir 30 tahun.
“Peniaga di sini berjanji akan mengekalkan suasana harmoni, saling membantu dan paling penting menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan,” katanya.
Seorang peniaga, Nailah Che Wook, 51, berkata dia sangat berterima kasih sekiranya berita untuk menerima pasar baru menjadi kenyataan kerana sudah 30 tahun dia mengimpikannya.
“Pasar yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana bukan sahaja berdekatan dengan jalan raya malah tidak menampakkan pasar seperti yang terdapat di tempat lain,” katanya.
Peniaga sayuran Zaleha Mamat, 45, dia antara belasan peniaga yang paling gembira ketika mendengar berita mengenai pembinaan pasar baru.
Katanya, dia mengharapkan pasar itu benar-benar wujud kerana dia dan rakan niaga lain cukup mengharapkan pasar baru yang lebih selesa.
“Peniaga di pasar ini tidak mahukan pasar yang besar dan gah seperti ditempatkan lain, cukup sekadar dengan bangunan yang sederhana dan selesa untuk kami berurusniaga,” katanya.
Peniaga ikan dan daging, Encik Jaafar Wook, 57, berkata dia sangat mengharapkan pihak berkaitan mengutamakan peniaga tempatan sebagai pemilik setiap lot pasar yang bakal dibina itu nanti.
Katanya, jika tiada lebihan ruang dan sudah tiada permintaan daripada penduduk tempatan, barulah diberi tawaran kepada penduduk luar untuk berniaga.