Perdana Menteri bersarapan bersama rakyat di kedai kopi Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu. - Foto: Zul Putra.
Nasi dagang, keropok lekor dan akok telur antara menu tradisional Terengganu yang menjadi pilihan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika bersarapan di Kedai Makan Selera Kampung milik Encik Alias Abdul Aziz, 45, di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, jam 9.15 pagi ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri sempat beramah mesra serta bersalaman dengan penduduk dan peniaga sekitar pekan itu yang setia menunggu seawal jam 8 pagi.
Kira-kira 3,000 penduduk hadir semata-mata ingin bersua muka dengan Perdana Menteri yang tiba bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di pekan itu, kira-kira jam 9 pagi.
Selepas menikmati sarapan, Dato’ Sri Najib sempat singgah di pasar kuih di lokasi sama, bagi bertemu kira-kira 30 peniaga.
Perdana Menteri `tergelak’ apabila mendengar penjelasan peniaga mengenai beberapa nama `unik’ kuih tradisional seperti `koleh lemok’, `nek bak’, `bronok’ dan `nganang’ yang di jual di pasar itu.
Turut mengiring Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafie Afdal; Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, beberapa Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri dan pemimpin setempat.
Encik Alias yang juga Setiausaha Persatuan, Penjaja dan Peniaga Melayu Kuala Nerus, melahirkan rasa bangga kerana Perdana Menteri bersama beberapa pemimpin lain sudi menikmati sarapan di kedai miliknya.
Katanya, dia melihat Dato’ Sri Mohd Najib cukup selera ketika menikmati nasi dagang dan memilih akok telur, keropok lekor sebagai pencuci mulut serta minuman teh `o’.
“Saya tidak lena tidur sebaik mendengar berita, Perdana Menteri akan singgah bersarapan di gerai saya kerana bimbang tidak dapat melayannya dengan sempurna.
“Alhamdulillah, hari ini iaitu selepas Dato’ Sri Mohd Najib selesai bersarapan barulah perasaan gemuruh saya lega serta hilang,” katanya.