Halaman

28 April 2011

Wujud koperasi kariah masjid seluruh negara menjelang 2012

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan mensasarkan kesemua 6,600 masjid seluruh negara akan menubuhkan koperasi kariah masjid masing-masing menjelang 2012.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai kempen satu komuniti satu masjid akan dijalankan bermula dari sekarang agar setiap masjid dapat mewujudkan koperasi di kawasan masing-masing.

“Setakat ini sudah ada koperasi di sesetengah masjid, namun selepas ini semua masjid akan tubuh koperasi untuk kebaikan kariah masjid,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’Md Yusof Samudin dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad ( Angkasa), Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum.

Katanya, banyak aktiviti ekonomi, sosial dan budaya dapat digerakkan di kalangan kariah masjid untuk kepentingan masyarakat setempat secara serentak dengan penubuhan koperasi itu nanti.

“Gerakan koperasi berupaya menjadi wadah membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui aktiviti berkumpulan sesuai dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat masyarakat di negara ini maju bersama koperasi,” katanya.

Selain itu katanya, koperasi kariah masjid merupakan pelengkap kepada penubuhan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (KPSA) yang mengadakan mesyuarat agung pertamanya pada 22 April lalu.

“Saya yakin, jika setiap komuniti kariah masjid di negeri ini dapat menubuhkan koperasi, Teras Strategik keempat yang digariskan dalam Dasar Koperasi Negara (2011-2020) untuk meningkat keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi akan tercapai,” katanya.