Halaman

29 April 2011

Tarikh baru Piala Monsun 2011, elak pertembungan Sukan SEA

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi mengekalkan prestij dan kedudukannya sebagai penganjur utama acara pelayaran dunia, T-Best Events Sdn Bhd berjaya menetapkan tarikh baru bagi penganjuran kejohanan Piala Monsun edisi 2011.

Perundingan terperinci dengan World Match Racing Tour (WMRT) dan International Sailing Federation (ISAF) memutuskan perlumbaan akhir musim yang bakal menobatkan juara dunia ISAF pada 29 November hingga 4 Disember .

Piala Monsun pada awalnya dijadualkan 22 hingga 27 November ini terpaksa diltangguhkan ke tarikh lain berikutan pertembungan dengan temasya sukan SEA ke- 26 pada 11 November hingga 22 November depan.

"Selepas beberapa minggu perundingan, WMRT dan ISAF akhirnya mencapai kata sepakat menetapkan tarikh baru kami. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kami akan bersama-sama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta semua pihak penaja yang terlibat dan rakan media untuk memastikan Piala Monsun terus menjadi kejohanan yang berprestij dan diiktiraf sebagai kejohanan utama dunia, " kata Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

"Kami merasa tarikh terdahulu itu tidak sesuai bagi melaksanakan Piala Monsun kerana dibayangi oleh Sukan SEA ke-26. Kami juga bertuah kerana `Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition’ (LIMA) yang biasanya diadakan pada minggu pertama bulan Disember pula akan diadakan pada minggu seterusnya bagi mengelak pertembungan dengan tarikh Piala Monsun. "

Tan Sri Sabbaruddin berkata, tarikh baru Piala Monsun amat sesuai dengan kejohanan Perth ISAF 2011 yang dijadualkan pada 3 hingga 18 Disember ini, sekaligus memberi peluang media asing membuat liputan bagi kedua-dua acara dunia itu.

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun merupakan siri kesembilan pelayaran profesional utama dalam World Match Racing Tour (WMRT) yang dijalankan di serata dunia.