Halaman

29 April 2011

Rumah mampu milik Pulau Duyong kondusif dan selesa

Oleh: Aida Abd Rahman

Kemudahan perumahan yang dibangunkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Pulau Duyong, Kuala Terengganu antara usaha kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di negeri ini memiliki kediaman yang lebih selesa dengan suasana kondusif.

Selepas projek pertama mengandungi 120 unit rumah pangsa mampu milik siap dan sudahpun didiami sepenuhnya sejak lima tahun lalu, projek kedua melibatkan 176 unit pula menyusul dan djangka siap tahun depan.

Penghuni pangsapuri projek pertama itu, Syed Alias Syed Abdul Rahman, 30, yang tinggal di Blok K sejak tiga tahun lalu bersama isteri, Siti Rohana Hassan 20-an, serta seorang anak, berasa bertuah kerana berpeluang tinggal di situ berikutan lokasinya yang strategik, suasana kondusif serta mempunyai pelbagai kemudahan asas di sekitarnya.

“Kami sekeluarga dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Malah, komuniti di sini juga saling bertoleransi dan memiliki semangat kejiranan yang kuat ditambah pula dengan kemudahan yang serba lengkap seperti kedai, sistem perparitan dan longkang serta jaringan jalan raya yang baik,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Shumarni Ibrahim, 28, yang berasal dari Kuala Berang dan menetap di pangsapuri itu bersama suaminya, Mohd Zuraidi Embong, 38 peduduk asal Kampung Pulau Duyong serta tiga anak, tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah besar mengenai tempat tinggal mereka.

“Pemaju menjalankan tanggungjawab dengan baik. Segalanya diurus dan diselenggara dengan lancar dan cepat. Setakat hari ini, kami sekeluarga dan juga keluarga lain tidak pernah merungut mengenai kediaman kami.

“Tidak lama lagi, kemungkinan Jun ini genap kami mendiami tiga tahun di sini. Kami akan mendapat surat tawaran bagi menukar status hak milik rumah sewa beli ini sebagai kediaman milik kami sepenuhnya,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Norsiah Mohd Razali, 33, surirumah berasal dari Kampung Bukit Guntong, juga berasa bertuah dengan keselesaan dan kemudahan tempat tinggal yang sudah lebih tiga tahun didiami mereka sekeluarga.

Dia yang tinggal bersama suami, Wan Rosimi Wan Muda, 39, dari Kampung Pulau Ketam, dan empat anak tidak berdepan dengan masalah besar kerana pemaju segera membaiki kerosakan apabila menerima aduan daripada penghuni.

“Syukur Alhamdulillah. Setakat ini, kami rasa tenang dan aman tinggal di sini. Kami memang berhasrat untuk terus menetap di sini. Kemudahan asas juga serba lengkap, malah tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu,” katanya.