Halaman

30 April 2011

PM puas hati sambutan rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato' Sri Mohd Najib ketika gimik perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyung, Kuala Terengganu. - Foto:Zulkipli Putra dan Harish Fadzillah.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak melahirkan rasa puas hati terhadap sambutan yang diberikan rakyat Terengganu, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan DUN Manir yang memberi sambutan luar biasa sempena Program Turun Padang beliau ke negeri Terengganu, hari ini.

“Ini menunjukkan rakyat senang hati dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media sempena lawatan beliau ke beberapa lokasi terpilih di dua DUN berkenaan. Sidang media tersebut diadakan di Pulau Duyong, selepas beliau merasmikan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyong, petang ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan meneruskan program tersebut di seluruh negara bagi meninjau sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi rakyat dan akan diambil tindakan segera bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Dalam lawatan seperti ini, kita dapat kenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Ini merupakan sentuhan rakyat dan perlu diambil tindakan segera (bagi menyelesaikannya),” ujar beliau.

Perdana Menteri melahirkan keyakinan BN untuk merampas kembali dua DUN di Terengganu yang dilawati beliau hari ini yang kini dikuasai oleh pembangkang.



“Dua DUN ini dan beberapa DUN lagi kita (BN) kalah dengan majoriti yang kecil dan tidak mustahil kita dapat menawan semula pada pilihan raya umum akan datang,” tegas beliau.

Beliau berkata, BN akan bekerja lebih kuat di kawasan berkenaan dan jika calon yang disenangi rakyat diletakkan di DUN berkenaan, tidak mustahil BN akan menang pada pilihan raya umum akan datang.



Masa sudah tiba pengundi Bukit Tunggal pilih BN – PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib



“Masa sudah tiba untuk pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal membuat perubahan ke arah Barisan Nasional (BN)”, demikian mesej yang disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sempena lawatan kerja ke DUN berkenaan hari ini.

Sempena Program Turun Padang ke Terengganu, beliau melawat empat tempat di DUN Bukit Tunggal iaitu Pekan Batu Enam, Kampung Pengkalan Arang, Bukit Tunggal dan Pulau Duyong.

“Sebagai sebuah parti dan kerajaan, kita (BN) sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di atas segala pertimbangan lain. Bila saya mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya mahu pentadbiran berpaksi dan mendahulukan rakyat dalam semua pertimbangan,” katanya pada majlis merasmikan Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong, di Pulau Duyong, petang ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussien: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Perdana Menteri mahu penduduk di kawasan Bukit Tunggal memilih BN pada pilihan raya umum akan datang supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dirancang di kawasan berkenaan.

Kedatangan Perdana Menteri ke DUN Bukit Tunggal memberi makna yang besar apabuila beliau meluluskan tiga permohonan masyarakat di kawasan itu iaitu pembinaan pasar baru Bukit Tunggal bernilai RM4 juta, pembinaan jejantas di Bukit Tunggal bernilai RM3 juta dan mewujudkan daerah baru Kuala Nerus.

“Pembinaan pasar dan jejantas baru akan dibina dengan segera manakala cadangan mewujudkan daerah baru kita (Kerajaan Pusat) akan bincang dengan kerajaan negeri,” ujar beliau.



DAP GANTI PAS

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata slogan ’Pas Ganti Umno’ yang dimainkan parti pembangkang itu tidak menjadi kerana apa yang berlaku kini ialah ‘DAP ganti Pas’.

Malah, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang bekerja keras di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, kerana parti DAP yang mendapat untung.

“Orang PAS bekerja berhempas pulas di Sarawak...Haji Hadi sendiri pun kerja keras, tapi yang dapat untung DAP,” kata beliau merujuk kepada kemenangan DAP meraih 15 kerusi di Sarawak manakala Pas tidak mendapat satu kerusi pun.

Berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyong petang ini, Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Perdana Menteri, menyarankan Pas supaya keluar daripada gabungan parti pembangkang.

“Alihlah kepada pihak lain dan menangani Islam. Tidak ada guna Pas berada dalam pakatan pembangkang kerana DAP yang untung,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussien: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Perdana Menteri berkata, Pas tidak mampu melakukan apa-apa bagi kebaikan umat Islam selagi berada dalam pakatan parti pembangkang.

“Jika Pas mahu perjuangkan Islam, parti itu tidak boleh bergantung kepada DAP,” tambah beliau.



Kehadiran isteri PM mencatat 1001 kenangan manis

Oleh: Esah Abdullah


Tiga keluarga nelayan menerima anugerah ‘keluarga nelayan contoh' yang disampaikan oleh Datin Sri Rosmah.

Kehadiran yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang juga isteri Perdana Menteri Datin Sri Rosmah Mansor ke majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang mencatat 1001 kenangan manis kepada seluruh warga pandu puteri dan orang ramai yang membanjiri Padang Astaka, Dungun tempat berlangsungnya program itu hari ini.

Bersempena program berkenaan tiga keluarga nelayan menerima anugerah ‘keluarga nelayan contoh’ berdasarkan kegigihan dan kesabaran mendidik anak-anak hingga ke menara gading biarpun sepanjang kehidupan sentiasa dihimpit kemiskinan.

Mereka yang bertuah adalah Encik Abdul Wahab Sulong, 65, dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, mempunyai lima anak dan dua daripadanya berjaya melanjutkan pengajian di universiti dalam dan luar negara.

Encik Razak Jusoh,58 dari Kampung Teluk Bidara dan Encik Embong Mohd, 68 dari Kampung Balik Bukit masing-masing menerima wang tunai RM500, sijil penghargaan dan hamper yang disampaikan oleh Datin Sri Rosmah.

PPPM juga telah berjaya mengumpul sumbangan dari agensi kerajaan dan badan berkanun berjumlah RM130,000, ini termasuklah sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (RM50,000), kerajaan negeri (RM30,000), Epic Berhad (RM30,000) dan Ladang Rakyat (RM20,000).

Pada majlis berkenaan isteri PM juga turut menyampaikan penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) (6), Penilaian Menengah Rendah (PMR) (5 ), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (3) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) (2).

Terengganu merupakan negeri kedua selepas Perak menyahut seruan Yang Dipertuanya (Datin Sri Rosmah) memberi nafas baru kepada persatuan dalam usaha mendekatkan lagi persatuan dengan masyarakat setempat.

“Saya bangga kerana PPPM Terengganu telah berjaya menunaikan tanggung jawabnya sebagai badan bukan kerajaan yang prihatin dan penyayang sesuai dengan slogan dan falsafah persatuan ‘selalu sedia’ ‘memberi khidmat’ dan ‘tolong orang selalu’,” kata Datin Sri Rosmah.


Datin Sri Rosmah turut menyertai demontrasi membuat keropok lekor.

Datin Sri Rosmah kemudiannya turut melawat gerai pameran hasil kraftangan ahli-ahli pandu puteri dan turut menyertai demontrasi membuat keropok lekor yang menjadi makanan kegemaran ramai.




Semangat sukarelawan disemarakkan kalangan generasi muda

Oleh: Esah Abdullah


Isteri Perdana Menteri, Datin Sri Siti Rosmah tertarik melihat ikan kering yang dipamerkan di gerai pameran. Foto: Syed Abdul Rahman.

Semangat sukarelawan perlu disemarakkan khususnya di kalangan generasi muda dan anak-anak gadis agar ia menjadi amalan murni di samping menghindari sifat individualistik.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor berkata, jika budaya ini dapat disemai dan diterapkan dalam setiap program Pandu Puteri, ia pastinya juga dapat memperkasakan gagasan 1Malaysia serta melahirkan masyarakat penyayang.

“Untuk mengharungi abad ke-21, negara kita memerlukan generasi baru yang boleh menjana perubahan pada diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan program Pandu Puteri Turun Padang di Padang Astaka, Seberang Pintasan Dungun, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd Taib dan Yang Dipertua PPPM cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Saya menyeru kepada semua supaya menghulur bantuan kepada orang lain agar kita dapat memanfaatkan potensi diri untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, melalui program sebegini mampu menerapkan nilai-nilai sukarelawan dan jati diri di kalangan ahli supaya menjadi warga dunia yang bertanggungjawab tanpa mengira batasan umur, bangsa, agama mahupun kelompok masyarakat.

Datin Seri Rosmah melahirkan keyakinan program turun padang yang dilaksanakan dengan baik dan terancang, berjaya melahirkan anak-anak gadis dan remaja yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

“Saya percaya di sinilah landasan kita untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka secara optimum supaya mampu bergerak seiring dengan aspirasi negara dan anak-anak gadis kita akan terus terpelihara dan mulia akhlaknya,” katanya.

Selain itu, Datin Sri Rosmah berharap Pandu Puteri terus memain peranan sebagai ‘Duta Kecil’ dalam mempromosi persatuan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pertubuhan bukan kerajaan lain di negara ini.

“Jika perkara yang baik dan mulia ditunjukkan, maka imej yang baik akan diperlihatkan kepada masyarakat dan kekalkan sikap saling bekerjasama kerana sepakat kita kuat, berpecah kita rebah,” katanya.





Klinik Pak Yusuf sedia kemudahan tanpa pilih bulu-PM

Oleh: Aida Abd Rahman


Perdana Menteri berulang kali memuji khidmat klinik percuma kepada penduduk tanpa mengira fahaman politik.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berulang kali memuji pendekatan yang dilaksanakan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (PP DUN) Manir, Encik Yusof Awang Hitam yang membuka kemudahan klinik secara percuma untuk kegunaan penduduk sekitar tanpa mengira fahaman politik.

“Untuk kawasan ini (DUN Manir) kita ada tokoh kita, Pak Yusof kita (Yusof Awang Hitam) buat sesuatu yang luar biasa, buka klnik bagi perubatan percuma, siapa sanggup buat? Puak Pas ramai yang datang dapatkan perkhidmatan di sini. Kita tidak pilih bulu. Kita tidak kata puak Umno sahaja boleh masuk (klinik), puak Pas pun boleh masuk.

“Tidak mengapa, tidak dapat undi pun, kita dapat pahala. Mudah-mudahan dapat undi dan pahala, ini yang kita hendak, pendekatan sebegini. Terima kasih Pak Yusof,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Rakyat di Padang Bola, Kampung Pulau Bahagia, DUN Manir, Hulu Terengganu, tengahari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu dan PP DUN Manir, Encik Yusof.

Kira-kira 15,000 penduduk kawasan Manir dan sekitar Kuala Terengganu membanjiri tapak program sejak jam 8 pagi lagi. Masing-masing kelihatan bersemangat sambil mengibarkan bendera sebaik sahaja melihat kelibat pemimpin negara itu memasuki tapak program.

Perdana Menteri sebelum itu diiringi kira-kira 800 belia bermotosikal dari jarak lapan kilometer sebelum tiba di Kampung Pulau Bahagia. Di kiri dan kanan bahu jalan, orang ramai termasuk guru dan pelajar sekolah setia menunggu sambil melambai dan mengibarkan Jalur Gemilang serta memegang kain rentang mengalu-alukan lawatan pemimpin nombor satu negara itu.

Dato' Sri Mohd Najib kemudiannya disambut dengan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Lian 12 yang melibatkan 150 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Bahagia; SK Beladau Kolam; SK Durian Mas; SK Teluk Menara; SK Pulau Manis; SK Belara dan SK Kebor Besar.

Sebelum itu, Perdana Menteri dan rombongan meluangkan masa beberapa minit melawat Klinik kesihatan Masyarakat Yusuf Awang Hitam dan melihat operasi di dalamnya sambil beramah-mesra dengan petugas klinik itu.

Seramai 15 pakar perubatan termasuk dua pembantu farmasi dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan ditugaskan khas untuk mengendali klinik yang dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu.

Perdana Menteri dalam ucapannya juga yakin Umno dan Barisan Nasional mampu menawan seluruh kawasan di Terengganu sekiranya semua pemimpin dan ahli parti itu bersatu bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

“Kita boleh menang, dengan syarat kita benar-benar bersatu. Jangan `peteh' sesama kita, kalau peteh sesama kita, kita kalah. Kawasan tertentu di Terengganu ini bukan Pas menang, tetapi kerana Umno tidak bersatu,” katanya.






Warga emas uzur sebak dikunjungi PM di Pengkalan Arang

Oleh: Aida Abd Rahman


Chik Mamat, 85, tidak menduga menerima kunjungan daripada pemimpin YAB Perdana Menteri.

Dalam usia yang semakin lanjut dan banyak menghabiskan masa dengan hanya terbaring di tilam akibat kecederaan tulang pinggul selepas ditimpa kemalangan tiga tahun lalu, seorang warga emas, Chik Mamat, 85, tidak menduga akan menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di rumahnya di Pengkalan Arang, Kuala Terengganu, pagi ini.

“Tok pertama kali tengok dia secara depan-depan. Sebelum ini tengok wajah dia kat televisyen sahaja. Dok (tidak) sangka dia sanggup mari tengok tok hari ini.

“Apabila pandang wajah dia (Perdana Menteri) tok dapat lihat dia seorang yang mesra dan serasi dengan kita semua (rakyat),” kata Chik dalam nada sebak dan terharu.

Chik sebelum ini pernah dikunjungi pemimpin tempatan termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menganggap dirinya yang kini yang tinggal bersama sembilan anak, cucu serta cicit , individu yang cukup bertuah kerana Perdana Menteri sanggup turun padang dan meluangkan masa bertanya khabar kesihatan dirinya.

Turut sama mengiringi lawatan ke rumah penduduk miskin dan uzur di sekitar kampung Pengkalan Arang, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin negeri yang lain .

Sebelum singgah di rumah Chik, rombongan mengunjungi rumah Lua Peng Ching, 58, yang uzur dan sudah beberapa tahun tidak bekerja. Dia tinggal bersama isteri yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari serta empat anak termasuk yang bongsu adalah Orang Kurang Upaya.

Lua Peng menerima bantuan membaiki atap rumahnya yang rosak dan rumah berkenaan sudah didiami mereka sekeluarga kira-kira 25 tahun lalu.

Rombongan juga melawat rumah seorang ibu tunggal,Aminah Abdullah, 65 yang menerima bantuan membaiki rumah dan cat baru diikuti rumah terakhir yang dikunjungi, seorang warga emas, Puteh Yaacob, 68 yang uzur akibat mengalami angin ahmar.

Perdana Menteri serta rombongan sebelum itu melawat Pasar batu Enam serta menikmati sarapan pagi di situ. Beliau turut meninjau setiap lot jualan di pasar berkenaan sambil bermesra dengan peniaga di situ.

Sejurus selesai lawatan di Pengkalan Arang, rombongan bergegas ke tapak pasar baru Bukit Tunggal dan ke majlis bersama rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Parlimen Hulu Terengganu, di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia.




PM pilih nasi dagang menu sarapan

Oleh: Suriati Ali


Perdana Menteri bersarapan bersama rakyat di kedai kopi Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu. - Foto: Zul Putra.

Nasi dagang, keropok lekor dan akok telur antara menu tradisional Terengganu yang menjadi pilihan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika bersarapan di Kedai Makan Selera Kampung milik Encik Alias Abdul Aziz, 45, di Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, jam 9.15 pagi ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri sempat beramah mesra serta bersalaman dengan penduduk dan peniaga sekitar pekan itu yang setia menunggu seawal jam 8 pagi.

Kira-kira 3,000 penduduk hadir semata-mata ingin bersua muka dengan Perdana Menteri yang tiba bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di pekan itu, kira-kira jam 9 pagi.

Selepas menikmati sarapan, Dato’ Sri Najib sempat singgah di pasar kuih di lokasi sama, bagi bertemu kira-kira 30 peniaga.

Perdana Menteri `tergelak’ apabila mendengar penjelasan peniaga mengenai beberapa nama `unik’ kuih tradisional seperti `koleh lemok’, `nek bak’, `bronok’ dan `nganang’ yang di jual di pasar itu.



Turut mengiring Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafie Afdal; Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, beberapa Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri dan pemimpin setempat.

Encik Alias yang juga Setiausaha Persatuan, Penjaja dan Peniaga Melayu Kuala Nerus, melahirkan rasa bangga kerana Perdana Menteri bersama beberapa pemimpin lain sudi menikmati sarapan di kedai miliknya.



Katanya, dia melihat Dato’ Sri Mohd Najib cukup selera ketika menikmati nasi dagang dan memilih akok telur, keropok lekor sebagai pencuci mulut serta minuman teh `o’.

“Saya tidak lena tidur sebaik mendengar berita, Perdana Menteri akan singgah bersarapan di gerai saya kerana bimbang tidak dapat melayannya dengan sempurna.

“Alhamdulillah, hari ini iaitu selepas Dato’ Sri Mohd Najib selesai bersarapan barulah perasaan gemuruh saya lega serta hilang,” katanya.




Rakyat gembira terima kehadiran PM

Oleh: Suriati Ali


Rakyat gembira menyambut kunjungan Dato' Sri Mohd Najib. - Foto: Zul Putra.

Kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu hari ini (Sabtu) tentu sekali dilihat membawa makna yang sangat penting, bukan sahaja kepada rakyat Terengganu, malah pemimpin masyarakat di negeri ini sendiri.

Bagi Rakyat Terengganu, Perdana Menteri merupakan seorang pemimpin yang membawa legasi kepimpinan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien yang juga ketika hayatnya sentiasa turun padang mendekati rakyat dan pernah memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal sebagai lokasi pilihan ketika melawat negeri ini.

Kunjungan Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1978 masih segar dalam ingatan penduduk di DUN itu.



Justeru, tidak hairanlah penduduk Bukit Tunggal hari ini sekali lagi merasai bahang `indahnya’ kehadiran pemimpin utama negara.

Sebaik tiba di Bukit Tunggal iaitu selepas selesai bersarapan di gerai, Encik Alias Abdul Aziz, Dato’ Sri Mohd Najib bertemu peniaga di Pasar Batu Enam dan singgah di rumah penduduk uzur di Kampung Pengkalan Arang.

Beliau beramah mesra dan bertanya khabar pula dengan 15 peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan basah, kuih muih dan buah-buahan di Bukit Tunggal.

Perdana Menteri sempat menjamah beberapa jenis makanan tradisional sebelum singgah di pondok rehat kampung itu untuk bermain `dam aji’ bersama beberapa penduduk setempat yang berpengalaman mengenai permainan itu.

Kira-kira 4,000 penduduk pelbagai lapisan masyarakat mengambil kesempatan bersua muka dan bersalaman dan rata-rata mereka mengharapkan Dato’ Sri Mohd Najib tidak jemu untuk kembali ke kawasan itu.



Selepas itu, Perdana Menteri terus bergegas bagi menyempurnakan program seterusnya di Manir dan bertemu 8,000 rakyat dan pemimpin masyarakat.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin ketika ditemui Teganukita berkata, kehadiran Dato’ Sri Mohd Najib ke Terengganu amat dirasai rakyat dan juga satu sentuhan kepada jiwa mereka yang mahu melihat Terengganu terus maju dan cemerlang pada masa hadapan.



29 April 2011

PM tiba di Terengganu untuk lawatan kerja esok

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Ketibaan YAB Perdana Menteri disambut Menteri Besar dan rakyat Terengganu.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor, selamat tiba dengan pesawat eksekutif di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.50 malam ini.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat tempatan.

Perdana Menteri terus menuju ke Riyaz Heritage Pulau Duyong untuk menghadiri perjumpaan tertutup dengan Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Beliau akan memulakan lawatan kerja ke Terengganu, pagi esok dengan destinasi pertama Pekan Batu Enam dan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal.