Halaman

06 May 2011

Projek kereta kabel akan diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan membina kereta kabel dari Pangkalan Gawi ke Taman Tema Air di Pulau Poh, Tasik Kenyir seperti yang dihebahkan sebelum ini, bagi menambah tarikan pelancong ke tasik buatan terbesar Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan melantik syarikat perunding bagi merumuskan reka bentuk dan menilai kos pelaksanaan projek itu.

Katanya, walaupun projek kereta kabel itu tidak secanggih di Pulau Langkawi sekali gus membabitkan kos yang lebih rendah, tetapi ia memadai untuk mencapai matlamat bagi memudahkan perhubungan antara daratan dan kawasan menarik di beberapa pulau yang sedang dibangunkan.



"Pembinaan kereta kabel itu adalah sebahagian daripada perancangan besar yang sudah dirangka kerajaan negeri yang dijangka membabitkan peruntukan RM500 juta untuk membangunkan keseluruhan Tasik Kenyir.

"Selain kereta kabel, turut termasuk dalam perancangan menyeluruh itu adalah pembinaan 20 chalet tambahan di Pulau Petang membabitkan peruntukan RM50 juta, pembinaan dua bot aluminium baru dan pembangunan pulau tema khas merangkumi taman burung, taman air, taman haiwan dan orkid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2011, Hulu Terengganu, hari ini (6 Mei).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pembinaan taman burung di sebuah pulau di tasik itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama kepakaran pengusaha zoo mini Burung Kuang di pekan Ajil, manakala taman orkid akan menempatkan 1,800 spesies bagi menarik kunjungan peminat bunga eksotik itu.




YPKT laksana lapan bidang basmi kemiskinan

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.





Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan mencatatkan lapan orang.

Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan raakyat miskin menyertai program Pembangunan Diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.






Kerajaan sasar wujud 600 koperasi menjelang 2015

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan kira-kira 600 buah koperasi dapat diwujudkan di seluruh negeri ini dengan jumlah keahlian lebih 650,000 menjelang tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, ia bertujuan menggalakkan komuniti setempat dapat melibatkan diri dalam perniagaan di samping membantu meningatkan ekonomi negeri selaras dengan matlamat kerajaan negeri ` satu kampung satu koperasi’.


Katanya, pada masa ini sebanyak 350 buah koperasi telah wujud di seluruh negeri yang melibatkan keahlian lebih 300,000 ahli dengan modal pusingan bernilai kira-kira RM400 juta.

``Daripada jumlah bilangan koperasi itu kira-kira 50 peratus adalah koperasi berbentuk mirko, manakala 44 peratus berskala sederhana kecil dan hanya enam peratus berskala besar,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu di Hotel Tanjung Vista semalam. Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd Malib Abd Rani.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi memberikan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada setiap koperasi yang diluluskan.

``Dengan adanya bantuan tersebut diharap dapat membantu koperasi baru menggerakkan aktiviti bagi kepentingan ahli yang berdaftar sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga,’’ katanya.

Katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam membantu kominiti setempat menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing.

``Tumpuan penubuhan koperasi itu turut melibatkan peringkat kampung, tanah rancangan , Jawantakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan masjid digalakkan untuk menubuhkan koperasi.’’ Katanya.

Menurut Dato’Mohamed, setiap koperasi baru yang diluluskan penubuhannya akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM40,000 iaitu RM 10,000 daripada kerajaan negeri dan RM30,000 lagi daripada SKM.

Bagaimanapun katanya, kelulusan sesebuah koperasi itu juga akan mengambil kira jenis perniagaan yang dilaksanakan untuk memastikan ia mampu berdaya saing di samping memberi keuntungan yang baik kepada ahli.

Selain itu katanya, dalam usaha memastikan koperasi tersebut terus aktif, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menubuhkan unit koperasi dalam memberi bimbingan, khidmat nasihat dan pinjaman agar terus berkembang dan sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan di negeri ini.

Di majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah usahawan kepada lima usahawan Felda yang berjaya. Masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan sijil yang disampaikan oleh Dato’Mohamed.

Manakala Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Taman Shahbandar membabitkan 30 gerai dengan menjual dan mempamerkan pelbagai produk.







Anak Yatim Terima Bantuan




Pasar baru Kuala Berang dibuka Jun

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pemasaran produk seperti hasil tani tempatan akan saling membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Pasar baru pekan Kuala Berang yang berharga kira-kira RM10 juta akan mula dibuka sepenuhnya pada bulan Jun ini.

Pada masa ini sebahagian peniaga ikan, ayam dan daging sudah mula menggunakan pasar basah manakala peniaga lain akan dipindahkan sepenuhnya bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kerja-kerja penambahbaikan pasar berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan pasar tersebut dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

Mengikut perancangan awal, semua peniaga di pasar lama akan dipindahkan pada awal tahun ini, tetapi disebabklan beberapa masalah yang timbul pemindahan itu terpaksa ditangguhkan.

“Kita akan pindahkan semua peniaga ke pasar baru itu setelah kerja-kerja penambahbaikan siap dilakukan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke beberapa projek di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Pasar berkenaan mula dibina pada tahun 2006 bagi menggantikan pasar lama yang sudah uzur, dalam usaha kerajaan menyediakan proemis perniagaan lebih selesa kepada para peniaga.



Terengganu sedia bantu kecemerlangan atlet

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Terengganu memberi galakan dan pengiktirafan di atas kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan.

Kerajaan Terengganu sedia memberi sumbangan dan bantuan kepada mana-mana atlet kelahiran Terengganu yang beraksi cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan membantu melahirkan lebih ramai atlet negara, sekaligus mengharumkan nama Terengganu.

“Kita sedia mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya ketika diminta mengulas kejayaan seorang lagi anak Terengganu, Mohd Nafizwan Adnan, 25, yang mengukir nama dalam sukan skuasy.

Mohd Nafizwan muncul juara dalam Kejohanan Individu Asia Ke-16 yang berlangsung di Georgetown kelmarin, apabila menewaskan pilihan pertama, Ong Beng Hee.

Sebelum ini, Terengganu melahirkan beberapa atlet yang berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Azizulhasni Awang dan Anuar Manan dalam lumba basikal.

Kejayaan mereka itu mendorong kerajaan negeri mengurniakan pelbagai anugerah, termasuk wang tunai dan tanah lot kediaman.



05 May 2011

Terengganu terbaik urus keperluan Orang Asli

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said pada mesyuarat penyelarasan Isu tanah Orang Asli Negeri Terengganu, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman.

Terengganu antara negeri terbaik dalam pengurusan dan hal ehwal berkaitan masyarakat Orang Asli khususnya dalam aspek mewartakan tanah dan kepelbagaian sektor pertanian sebagai sumber ekonomi golongan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal, berkata pihaknya mendapati Terengganu tidak mempunyai banyak masalah dari aspek perkembangan dan keperluan yang dikehendaki oleh masyarakat Orang Asli, sama ada dari segi tanah serta masalah lain.
“ Sebahagian daripada tanah yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli sudahpun diwartakan dan merupakan negeri yang saya yakin sudah banyak memenuhi keperluan golongan itu seperti apa yang dituntut dalam memorandum yang diajukan kepada Perdana Menteri dan saya selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli,” katanya pada sidang media selepas mengetuai mesyuarat penyelarasan Isu tanah Orang Asli Negeri Terengganu, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu selepas Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, Segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri kelak akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Terengganu muncul negeri terawal yang mewartakan tanah kepada masyarakat Orang Asli iaitu sejak 1962 dan negeri yang paling banyak mewartakan tanah kepada masyarakat.

Untuk rekod, sebanyak 50,563.51 hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di tiga penempatan di seluruh Terengganu dengan 19,713.65 hektar daripadanya sudah diwartakan sebagai tanah rizab.

Sementara itu, sebanyak 30, 849.84 hektar sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri tetapi belum diwartakan.

Tiga penempatan orang asli di Terengganu adalah di Sungai Berua, Hulu Terengganu yang melibatkan 416 orang daripada 88 keluarga, Sungai Pergam, Kemaman seramai 535 orang daripada 114 keluarga dan Sungai Sayap, Besut pula seramai 29 penduduk (lapan keluarga).

Sementara itu, Menteri Besar berkata keistimewaan Orang Asli di negeri ini adalah mereka tidak meneroka tanah secara haram.



Enam ribu atlet Sukanun berkampung di Terengganu

Oleh: Esah Abdullah



Kontijen yang dibarisi 230 peserta dari Universiti Malaysia Terengganu berazam untuk mengutip sebanyak mungkin pingat dalam Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun (Sukanun) Kebangsaan yang akan bermula Sabtu ini.



Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata UMT selaku tuan rumah, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menyambut 6,000 peserta dan pegawai akan menyertai kejohanan sukan kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) itu.

“ Walaupun kita tidak sehebat pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai ramai atlet kebangsaan, tidak bermakna kita harus menyerah begitu saja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di UMT hari ini.

Katanya, sebanyak 20 acara sukan yang akan dipertandingkan dan 17 acara menawarkan pingat manakala pertandingan memancing menawarkan hadiah wang tunai (RM3,000, RM2,000 dan RM1,000) serta acara mencari harta karun .

Menurut Prof Dr Aziz, acara pertandingan memancing diperkenalkan untuk pengemar kaki pancing di samping usaha UMT memperkenalkan pelbagai keunikan dan budaya serta sesuai dengan lokasi negeri yang terletak di persisiran pantai.

Semua acara akan diadakan di Stadium Tengku Muhammad Ismail UMT kecuali acara boling yang akan diadakan di Mesra Mall Kemaman dan beberapa acara akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana jumlah penglibatan agensi badan berkanun mencapai hampir sekali ganda tahun ini berbanding kejohanan Sukanun keenam yang berlangsung di Pulau Langkawi dua tahun lalu.

Katanya, tahun ini terdapat 70 agensi daripada 92 agensi akan menyertai sukan ini berbanding 55 agensi dalam Sukanun di Pulau Langkawi.

“UMT amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak memberi sokongan termasuk memberi peruntukan kepada UMT bagi menjayakan Sukanun kali ini yang memilih Kuda Laut sebagai maskot rasmi,” katanya.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melakukan perasmian Sukanun V11 ini pada 9 Mei pukul 9 malam di UMT.




UMT berjaya tarik 100 pelajar dari luar negara

Oleh: Esah Abdullah


UMT turut menerima sumbangan zakat daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM32,579.33.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui pelbagai tranformasi yang hebat telah berjaya menarik minat pelajar dari luar negara untuk datang belajar di sini.

“Setakat ini 100 pelajar antarabangsa daripada China, Bosnia Herzegovina, Yaman, Thailand, Indonesia, Kanada, United Kingdom, India, Pakistan dan Sri Lanka telah memulakan pengajian mereka di UMT,” kata Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman.

Beliau yang ditemui di majlis Gerak Ceria (GC) Sempena 10 Tahun UMT hari ini berkata, dalam tempoh itu UMT berjaya menawarkan 25 program Pengajian Ijazah Sarjana Muda dan pengambilan pelajar telah meningkat melebihi 50 peratus.

Katanya, UMT juga berjaya dalam pelbagai pertandingan penyelidikan luar dan dalam negara dan tahun lalu sebanyak 30 anugerah telah diperolehi dalam pelbagai tujahan UMT.

Sementara itu program GC yang disertai 700 kakitangan dan pelajar itu diadakan tiga kali setahun dalam usaha UMT mengeratkan silatulrahim antara kakitangan dan pelajar serta menyuburkan amalan hidup cergas.

Pada majlis berkenaan UMT turut menerima sumbangan zakat daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM32,579.33 sebagai memenuhi tanggung jawab korporat syarikat kepada masyarakat.

Prof. Dr. Aziz Deraman berkata pihaknya akan mengagihkan sumbangan ini kepada pelajar UMT sama ada kerana kemiskinan atau didatangi musibah bagi meringankan beban mereka.




TSG suntik kemunculan pelapis muda

Oleh: Aida Abd Rahman


Penubuhan TSG bertujuan menyediakan pasukan profesional yang mantap dan disegani di peringkat antarabangsa yang mampu mengangkat nama Terengganu ke serata dunia.

Kerajaan negeri yakin penubuhan pasukan profesional Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mampu menyuntik semangat atlit pelapis dalam acara berbasikal di negeri ini.

Kecenderungan dan minat di kalangan remaja terhadap sukan itu jelas apabila di setiap daerah semakin ramai kumpulan remaja berkenaan berkayuh di jalan utama bagi memantapkan stamina masing-masing.

“Mereka ada hala tuju. Kalau dulu mereka main basikal hanya untuk suka-suka sahaja. Sebagai pasukan profesional (TSG), mereka dibayar gaji dan tidak keluar berlatih suka-suka. Kita ada sirkit dalam dan luar negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat TSG, di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar memotong riben di pintu masuk pejabat TSG sebelum menandatangani plak sebagai simbolik perasmian seterusnya meninjau ruang pejabat yang akan menguruskan pentadbiran TSG secara profesional di bawah satu bumbung.

Dalam pada itu, Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kemungkinan mendapatkan jurulatih luar negara bagi meningkatkan prestasi TSG, selain menghantar pasukan itu menyertai beberapa siri latihan di negara asing bagi menyesuaikan mereka dengan cuaca dan keadaan semulajadi di tempat orang.

Selain itu, Menteri Besar turut mengulangi kesediaan kerajaan negeri bagi mengiktiraf kejayaan yang dirangkul atlit negeri ini dalam setiap bidang sukan tanpa perlu menunggu sebarang permohonan daripada pihak pengurusan sukan serta atlit itu sendiri sebaik mereka menghasilkan kejayaan.

“Walaupun duit kita terhad, sebagai sebuah kerajaan negeri, kita boleh mencari penaja bagi menampung setiap perbelanjaan kita dalam sukan termasuk mengumumkan dua lagi syarikat yang akan menaja TSG, selain penaja yang sedia ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga tidak mahu aspek kewangan menjadi kekangan tetapi atlit itu sendiri harus membuktikan kecemerlangan dan kejaguhan mereka kerana kerajaan bersedia memberi insentif serta imbuhan yang setimpal.

Untuk rekod, idea penubuhan TSG tercetus daripada Menteri Besar sendiri yang bertujuan menyediakan pasukan profesional yang mantap dan disegani di peringkat antarabangsa yang mampu mengangkat nama Terengganu ke serata dunia.

TSG didaftarkan dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi tempoh pada 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2011 dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 16 Mac 2011.