Halaman

06 May 2011

Pasar baru Kuala Berang dibuka Jun

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pemasaran produk seperti hasil tani tempatan akan saling membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Pasar baru pekan Kuala Berang yang berharga kira-kira RM10 juta akan mula dibuka sepenuhnya pada bulan Jun ini.

Pada masa ini sebahagian peniaga ikan, ayam dan daging sudah mula menggunakan pasar basah manakala peniaga lain akan dipindahkan sepenuhnya bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kerja-kerja penambahbaikan pasar berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan pasar tersebut dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

Mengikut perancangan awal, semua peniaga di pasar lama akan dipindahkan pada awal tahun ini, tetapi disebabklan beberapa masalah yang timbul pemindahan itu terpaksa ditangguhkan.

“Kita akan pindahkan semua peniaga ke pasar baru itu setelah kerja-kerja penambahbaikan siap dilakukan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke beberapa projek di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Pasar berkenaan mula dibina pada tahun 2006 bagi menggantikan pasar lama yang sudah uzur, dalam usaha kerajaan menyediakan proemis perniagaan lebih selesa kepada para peniaga.