Halaman

02 May 2011

MB lulus RM2.5 juta untuk prasarana Hulu Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Sistem perparitan di Hulu Terengganu akan dipertingkatkan.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM2.5 juta bagi projek pembangunan prasarana di daerah Hulu Terengganu, tahun ini.

Daripada jumlah itu, peruntukan RM500,000 diagihkan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membiayai projek pembinaan jalan-jalan baru, menurap jalan lama dan memperbesarkan jalan sedia ada.

Selain itu, peruntukan tambahan RM300,000 disediakan bagi kawasan DUN Kuala Berang untuk projek pembinaan jalan di Padang Setenga dan membina surau baru di Felda Bukit Bading (DUN Ajil) bernilai RM150,000.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri juga sedia meluluskan projek pembinaan longkang di kawasan Kuala Ping, tetapi kosnya belum ditentukan lagi.

“Kita akan sediakan segala prasarana ini untuk kemudahan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di sekitar daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang, YB Mohd Zawawi Ismail; Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Adun Kemasik, YB Ir Rosli Othman dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim.

Selain itu, Menteri Besar berkata, projek pembinaan stesen bas baru Bandar Kuala Berang akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan ia dibina segera.