Halaman

01 May 2011

Penduduk lega PTP berjalan lancar

Oleh: Suriati Ali



Penduduk Parlimen Kuala Nerus dan Parlimen Hulu Terengganu menyatakan rasa syukur kerana apa yang dirancang bagi menjayakan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu, semalam (30 April) semuanya berjalan dengan sempurna.

Sambutan berkonsepkan mesra rakyat benar-benar terlaksana di mana setiap lokasi terutama di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu mendapatkan sambutan diluar jangkaan dan ianya cukup meriah.

Barisan Nasional (BN)Terengganu selaku penganjur terpaksa menambah 6,000 lagi kerusi pada majlis tersebut selepas tetamu yang hadir melebihi jangkaan asal iaitu 20,000 orang.

Rakyat Terengganu terutama yang terlibat secara langsung dengan PTP mengharapkan pemimpin utama negara itu tidak jemu untuk kembali mengunjungi Terengganu.

Ketua Umno Bahagian yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata dia dan penduduk Bukit Tunggal akan ingat pesanan dan amanat yang disampaikan Dato’ Sri Mohd Najib ketika berucap di beberapa program sempena lawatan sehari beliau.

Katanya, dia percaya kawasan Bukit Tunggal akan menjadi milik BN sekiranya penduduk bersepakat mahukan kemajuan dan perubahan daripada pelbagai aspek termasuk kebajikan, pembangunan dan pendidikan.

“Oleh itu, saya mahu penduduk di kawasan tersebut mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti, agar kawasan itu dapat dikembalikan semula kepada BN.

“BN memenangi kawasan tersebut pada pilihan raya 2004, tetapi kalah kepada calon Pas pada 2008 dengan majoriti yang kecil saja,” katanya.

Pelbagai pihak berpendapat kawasan tersebut mampu dimenangi semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang, dengan syarat jentera BN bekerja keras dan menyokong calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

Dato’ Haji Mohd Nasir, berkata kedatangan Perdana Menteri di kawasan tersebut sudah lama dinanti-nantikan seluruh warga Kuala Nerus.

Katanya, mereka begitu teruja apabila Dato’ Sri Mohd Najib memilih DUN Bukit Tunggal sebagai lokasi utama PTP dan kemenangan Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang amat wajar sebagai ‘kenang-kenangan’ daripada rakyat untuk Perdana Menteri.