Halaman

04 May 2011

Jaguh Bukit untuk mantapkan TSG

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Besar turut berharap Terengganu mampu melahirkan jaguh baru daripada pasukan pelapis.

Kerajaan negeri sedang mengenal pasti seorang jaguh bukit untuk diserapkan dalam pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bagi memastikan pasukan profesional itu mampu menguasai setiap zon pendakian dalam kejohanan berbasikal di dalam dan luar negara .

“Kita sedang mencari jaguh bukit, kerana apabila bertanding di peringkat antarabangsa, mahupun negeri, permarkahan dikira dari aspek keseluruhan. Ini merugikan kita apabila ada zon pendakian pelumba kita gagal mendapat masa yang ditetapkan,” kata beliau ketika sidang media sempena pelancaran Pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), di Jalan Pejabat, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat.

Setakat ini, TSG berminat untuk mendapatkan khidmat pelumba yang mewakili Malaysia, Muhammad Adiq Husainie Othman bagi memikul tanggungjawab itu.

Muhammad Adiq yang juga anak kelahiran Terengganu pernah merangkul gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan terakhir dalam persaingan Jelajah Malaysia 2011, baru-baru ini.

“Kita akan berunding untuk mendapatkan Adiq Husainie (Othman) dan berharap pelumba itu akan menyertai TSG pada masa depan. Sekarang Adiq terikat kontrak dengan pasukan lain,” katanya lagi.

Selain itu, Menteri Besar turut berharap Terengganu mampu melahirkan jaguh baru daripada pasukan pelapis. Sementara pasukan elit (TSG) pula akan terus diketengahkan dalam penyertaan pelbagai kejohanan besar dalam dan luar negara.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga mahu melihat TSG dapat bersaing dengan pasukan profesional dan hebat di luar negara bagi memantapkan lagi penampilan dan membuktikan kekuatan sebenar pasukan berkenaan.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan mencari jurulatih lain yang lebih profesional serta pakar dalam setiap aspek sukan itu.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kita mahu pastikan ada pelumba TSG boleh melibatkan diri dalam dua kejohanan berbasikal terkemuka dunia seperti Le Tour de France dan Italia(Giro d’ Italia).


KOMITED....kita perlu membuat persiapan rapi supaya dapat memberi persaingan khususnya Le Tour de France dan Italia....

“Jadi kita perlu membuat persiapan rapi supaya dapat memberi persaingan khususnya Le Tour de France dan Italia ini banyak melibatkan bukit. Kita mempunyai peluang melalui Anuar Manan dan Mohd Hariff Salleh (TSG) mampu bersaing dengan pelumba asing yang mempunyai fizikal lebih besar, tetapi kepantasan kita hampir menyamai mereka,” katanya.

Katanya, latihan berterusan, stamina, daya tahan dan kekuatan semula jadi selain teknik khusus serta pemakanan juga perlu dititikberatkan sebagaimana yang dipraktikkan atlit luar negara bagi memastikan penguasaan mereka dalam bidang itu.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, pejabat khas yang diwujudkan bagi pengurusan pasukan TSG di bawah satu bumbung dapat memastikan pasukan ini ditadbir urus dengan lebih profesional dan sistematik.

Katanya, sebarang tindakan melibatkan TSG perlu menitik beratkan profesionalisme sebagai sebuah pasukan yang mempunyai masa depan yang cerah.