Halaman

05 May 2011

Sambutan Hari Belia peringkat negeri 19 Mei

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2011 akan diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 19 Mei depan.

Lebih 5,000 orang, termasuk warga belia dari seluruh negeri dijangka menghadiri perhimpunan tersebut yang bertujuan member pengiktirafan terhadap sumbangan golongan belia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan hadir merasmikan perhimpunan itu serta menyampaikan amanat kepada golongan belia.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata Menteri Besar akan menyampaikan bantuan RM1.02 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada golongan belia kepada MBNT, badan-badan gabungan MBNT dan pesrsatuan belia pada majlis tersebut.

“Semua 331 persatuan belia di Terengganu yang telah berdaftar dengan pertubuhan belia akan menerima sebanyak RM2,000 bagi setiap persatuan,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Beliau berharap agar persatuan belia membangkitkan kembali semangat untuk terus aktif dan bersaing bagi melaksanakan aktiviti kepada ahli mereka dan warga masyarakat.

Antara aktiviti yang bakal diadakan sempena Sambutan Hari Belia 2011 Peringkat Negeri ialah City Night Games, Karnival Sukan Tradisional, Liga Sukan untuk semua, Perkhemahan Transformasi Belia, Larian Hari Belia, Cabaran Kayak Belia, Cub-cross, Auto show, Konvoi Belia dan ceramah agama, solat hajat serta doa selamat.