Halaman

01 May 2011

Penantian lebih 30 tahun berakhir

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penantian lebih 30 tahun penduduk kawasan Bukit Tunggal untuk mendapat pasar baru menggantikan pasar lama yang usang, bakal berakhir tidak lama lagi apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan sebuah pasar baru akan dibina dalam tempoh terdekat ini.

Peruntukan sebanyak RM4 juta disediakan kerajaan bagi membina pasar baru yang lebih selesa, untuk kegunaan peniaga di pasar lama tersebut.

Pengumuman projek pembinaan pasar baru itu merupakan ‘ole-ole’ yang dibawa Perdana Menteri sempena Program Turun Padang ke Terengganu, yang sebahagian besarnya melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal.

Perdana Menteri sempat melawat Pasar Bukit Tunggal dan menikmati sarapan pagi di Pekan Batu Enam serta melawat rumah beberapa penduduk miskin di Kampung Pengkalan Arang, semasa program turun padang itu.

Malah, pada sebelah malam sebelum memulakan lawatan kerja ke Terengganu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Paduka Rosmah Mansor, turut menginap di Pulau Duyong.
Selain itu, Dato’ Seri Mohd Najib turut memberi ole-ole kedua kepada penduduk Bukit Tunggal iaitu projek pembinaan jejantas bernilai RM3 juta berhampiran Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Malah, lebih menggembirakan lagi bukan saja di kalangan penduduk DUN Bukit Tunggal, tetapi seluruh warga Parlimen Kuala Nerus apabila Perdana Menteri memberi komitmen untuk mewujudkan daerah Kuala Nerus - impian mereka sejak sekian lama.

Dalam ucapannya di Pulau Duyong yang merupakan lokasi keempat yang dilawat Perdana Menteri, beliau memberi jaminan Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan penubuhan daerah Kuala Nerus.