Halaman

03 May 2011

PAS penting undi dari perjuangan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas masih dengan keputusan untuk berada dalam pakatan pembangkang kerana mahukan undi bukan Melayu, khususnya daripada penyokong DAP, setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, Pas tidak akan berundur daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP walaupun pemimpinnya tahu parti itu tidak mendapat keuntungan untuk memperjuangkan agenda Islam kerana sebab berkenaan.

“Pemimpin Pas memang tahu bahawa pemimpin DAP seperti Karpal Singh tidak akan menyokong perjuangannya untuk menegakkan undang-undang Islam.

“Tetapi kerana mahu undi orang Cina dan masyarakat bukan Melayu, Pas tetap mahu bergabung dengan DAP,” katanya ketika diminta mengulas saranan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP.

Dalam ucapannya di Pulau Duyong baru-baru ini, Perdana Menteri berkata slogan ’Pas Ganti Umno’ yang dimainkan parti pembangkang itu tidak menjadi kerana apa yang berlaku kini ialah ‘DAP ganti Pas’.

Malah, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang bekerja keras di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, kerana parti DAP yang mendapat untung.

“Orang PAS bekerja berhempas pulas di Sarawak...Haji Hadi sendiri pun kerja keras, tapi yang dapat untung DAP,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, Pas patut mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan parti pembangkang demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

“Dalam gabungan pembangkang, DAP memperkudakan Pas dan Pas pula memperkudakan PKR (Parti Keadilan Rakyat),” ujar beliau.