Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ketika Program Turun Padang PPPM Terengganu di Dungun, baru-baru ini.
Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor , wanita pertama negara yang lantang berucap di khalayak umum, begitu menghargai budaya warisan Melayu serta petah menyusun bait-bait pantun dan amat dikagumi.
Bunga tanjung kembang semalam,
Pohon tinggi tidak berduri,
Gelombang besar di lautan dalam,
Kerana Pandu Puteri saya ke mari.
Begitulah mukaddimah beliau selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) ketika memulakan ucapannya baru-baru ini, dan ia disusuli pula dengan rangkap puisi seterusnya:
Yang sakit dijenguk-jenguk,
Yang dekat diingat-ingat,
Yang jauh ditinjau-tinjau,
Yang kaya disapa-sapa,
Yang susah dipapah-papah,
Yang berisi beri memberi,
Yang susah rasa merasa.
Sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan tanggungjawab sukarelawan amat memerlukan sokongan badan korporat dalam mengumpul dana untuk membantu golongan susah dan kepada yang memberi beliau menitipkan pantun ini;
Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu,
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.
Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.
Isteri Perdana Menteri itu merasmikan program Turun Padang PPPM Terengganu yang diadakan di Padang Astaka, Seberang Pintasan Dungun dan berjaya menarik perhatian semua lapisan masyarakat yang hadir dan sebagai penutup majlis beliau meninggalkan kata-kata ini;
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.