Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan "peta jalan" yang terperinci dan jelas bagi membawa Malaysia menjadi negara maju.
Sehubungan itu, katanya, jika rakyat ingin melihat impian itu tercapai, BN adalah pilihan terbaik untuk memikul tanggungjawab tersebut berdasarkan rekod kejayaan yang dicapai sejak merdeka.
"Kita mesti faham bukan calang-calang orang boleh kita beri kepercayaan untuk mentadbir negara.
"Sekiranya kita ingin melihat Malaysia terus maju, maka kerajaan BN telah sediakan satu peta jalan, ia bukan perancangan biasa tetapi peta jalan yang terperinci dan jelas," katanya, di sini malam Sabtu.
Pedana Menteri yang berucap pada Jamuan Rakyat yang dihadiri lebih 26,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan di Dataran Shahbandar, berkata impian menjadi negara maju bukan satu fantasi, tetapi bakal menjadi realiti dengan iltizam dan kesungguhan kerajaan BN.
"Saya beri ketetapan dan jaminan, kalau tidak ada sesuatu (faktor) yang berlaku di luar negara, matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju akan tercapai pada tahun 2020," katanya.
Sebaliknya kata beliau, pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian seperti yang terjadi pada rakyat negeri Terengganu yang merana ketika pemerintahan PAS pada 1999.
Beliau berkata pembangkang hanya pandai memperdagangkan janji namun gagal mengotakannya.
Dato’ Seri Najib turut meluahkan keyakinan Terengganu akan kekal di tangan BN pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima BN Terengganu pada jamuan tersebut.
Ini adalah jamuan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini, katanya.
Terdahulu, BN Terengganu selaku penganjur terpaksa menambah 6,000 lagi kerusi pada majlis tersebut selepas tetamu yang hadir melebihi jangkaan asal 20,000 orang.