Halaman

05 May 2011

Festival Kenyir 2011 bermula esok



Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan Festival Kenyir 2011 yang akan berlansung selama tiga hari, mulai esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan merasmikan festival itu yang bertujuan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan, kira-kira jam 10 pagi esok.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Haji Hamzah Ngah berkata, pihaknya menjangkakan festival tersebut mampu menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Beliau berkata, program itu yang tertumpu di sekitar Pengkalan Gawi bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong serta memaparkan kesesuaian tasik berkenaan untuk pelbagai jenis aktiviti rekreasi dan sukan darat, air dan udara.

"Program itu juga sebagai persiapan awal dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dijangka beroperasi Ogos tahun depan.

"Festival itu turut memperkenalkan program 'Kenyir Island Hopping' di mana pulau-pulau diberikan daya tarikan dengan taman orkid, taman buah-buahan tropika, taman herba, taman burung dan taman rama-rama," katanya.



Lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu.

Pelbagai aktiviti air bakal menarik minat pengunjung katanya, seperti pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

"Selain pertunjukan belon udara panas yang bakal mewarnai langit Tasik Kenyir, festival turut dimeriahkan dengan penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.