Halaman

02 May 2011

Sedia RM250 juta bagi bina jalan baru dan jambatan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan RM250 juta bagi membina jalan dan jambatan di Kampung Jeram, Tepoh, dalam usaha memberi kemudahan kepada orang ramai berulang alik ke bandar Kuala Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata projek yang sedang giat dijalankan itu dijangka siap akhir 2012 dan penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah akan dipindahkan ke kawasan baru.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan seluas 5.6 hektar bagi menempatkan 60 keluarga yang terlibat dan mereka akan dikekalkan dalam satu kawasan.

“Pihak kami akan memikirkan cara terbaik bagi membina rumah penduduk yang kurang berkemampuan dan mungkin rumah mampu milik menjadi pilihan, manakala mereka yang berduit sudah boleh membina rumah baru kerana kawasan itu kini sedang giat diratakan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan rakyat, termasuk membina rumah baru, mengantikan atap, membina jambatan, kemudahan pendidikan dan sebagainya.

“Setiap tahun sebanyak 40 rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di bina di kawasan Tepoh dan sehingga kini, lebih 300 unit rumah itu telah didirikan.

“Kita juga mendapat kerjasama Affin Bank bagi membina 40 unit rumah di Kampung Padang Nenas dengan keluasan 3.2 hektar dan membabitkan kos RM1.8 juta,” katanya.
Katanya, projek itu kini berada di peringkat akhir dan dijangka boleh didiami penduduk penghujung Jun depan.

“Selain kemudahan tempat tinggal, kita juga mengambil berat dan prihatin terhadap keperluan belia, terutama dari segi kemudahan riadah bertujuan mengelak mereka terjebak dengan budaya tidak sihat,” katanya.