Halaman

04 May 2011

Akademi badminton diwujudkan awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan Akademi Badminton Terengganu bagi melatih pemain muda yang boleh diketengahkan dalam kejohanan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha itu kini sedang dilaksanakan dengan mengenal pasti pemain muda yang berpotensi berusia 12 hingga 18 tahun bagi mengasah kemahiran dan potensi yang ada untuk mewakili Terengganu dalam sebarang kejohanan badminton.
Katanya, kerajaan negeri kini sedang menentukan lokasi yang sesuai dan dalam proses mencari jurulatih yang mampu membimbing atlit negeri ini pergi lebih jauh dan mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Prestasi atlit badminton negeri (sedia ada) masih tahap rendah berikutan kekurangan jurulatih yang berkebolehan, selain tiada kesungguhan diberikan di peringkat kerajaan negeri dalam sukan itu.

“Sebab itu kita mahu lihat kesemuanya diuruskan dengan sempurna daripada aspek pasukan, kejurulatihan, tempat dan sebagainya,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010, di Wisma Darul Iman, malam kelmarin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sukan badminton negara kini kebanyakannya dikuasai oleh golongan Tiong Hua dan anak Melayu juga harus dibimbing dengan lebih baik serta secara profesional supaya mereka juga mampu menonjol dalam sukan itu di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelbagai faktor penyebab yang menghalang peningkatan prestasi anak Melayu dalam sukan badminton termasuk aspek disiplin.

“Kita harap dalam tempoh setahun, kita boleh wujudkan akademi (badminton) ini dan mampu melahirkan jaguh badminton di kalangan anak Terengganu,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebagaimana yang diketahui umum, Terengganu antara negeri yang tercorot dalam sukan badminton menyebabkan satu anjakan dilakukan untuk memastikan lebih ramai atlit berpotensi dapat dibentuk sebagaimana kecemerlangan dan penguasaan yang sudah dibuktikan anak negeri ini dalam sukan berbasikal.