Halaman

07 May 2011

Aktiviti Festival Kenyir dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali





“Festival Kenyir ini sewajarnya dijadikan sebagai program tahunan kerana cukup berfaedah kepada masyarakat terutama peniaga yang ingin memperkenalkan produk masing-masing.

“Pada masa sama, ia dapat mempopularkan lagi Tasik Kenyir yang kini sedang pesat membangun dengan pelbagai prasarana dan destinasi menarik,” kata seorang pengunjung, Muhamed Ismail Sabri, 35 dari Kuala Berang.

Katanya, dia datang bersama keluarga sempat menyertai beberapa aktiviti yang disediakan penganjur. Pengalaman tidak akan dilupakan ketika menaiki belon udara panas yang hanya dikenakan bayaran RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak pula RM5.

“Apabila mendengar ada pertunjukan belon udara panas, saya tidak sabar-sabar untuk berkunjung ke festival ini dan tidak sangka pula ia dibuka kepada orang ramai untuk mencuba,” katanya ketika di temui di tapak Festival Kenyir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu, semalam (6 Mei).

Festival yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (8 Mei) itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said manakala perasmian penutup pula di jangka disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Afdal.

Pelbagai aktiviti air diadakan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

Aktiviti lain, karnival usahawan dan pameran; pertunjukan belon udara panas; penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin serta persembahan tarian kebudayaan.

Pengunjung dari Setiu, Noraini Ismail, 45, berkata dia berharap Pulau Bebas Cukai yang bakal diwujudkan di Pulau Bayas, Tasik Kenyir dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana sudah tentu dapat menaikkan imej Terengganu.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Hamzah Ngah, berkata Festival Kenyir sememangnya wajar diadakan kerana bertepatan dengan keputusan kerajaan Pusat yang bersetuju menjadikan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai yang dijangka beroperasi akhir 2012.

Katanya, kerja-kerja infrastruktur asas kini sedang giat dibangunkan sebagai persiapan untuk tujuan itu.