Halaman

02 May 2011

PM lulus RM950,000 untuk masjid, rumah penginapan 1Malaysia DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman



Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Parlimen Hulu Terengganu menerima dua khabar gembira hasil lawatan Perdana Menteri ke kawasan itu, kelmarin.

Pertama, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM800,000 bagi kerja membaik pulih Masjid Batu Hampar dan kedua, peruntukan RM150,000 bagi membina rumah penginapan 1Malaysia bagi petugas di Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam.

“Insya-Allah kalau kawasan (DUN) Manir ini kembali kepada Barisan Nasional, banyak lagi usaha pembangunan dan pembelaan rakyat akan kita laksanakan,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia, kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu dan Pegawai Pembangunan (PP) DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

Perdana Menteri kemudiannya melaungkan kata-kata `sokong Barisan Nasional’, `menang Barisan Nasional ’, `undi Barisan Nasional’ dan `hidup Barisan Nasional’ sebanyak tiga kali yang disambut dengan penuh semangat dan gegak-gempita oleh kira-kira 15,000 orang ramai yang membanjiri program itu.

Sementara itu, PP DUN Manir, Encik Yusof bersyukur dengan `hadiah istimewa’ daripada pucuk pimpinan tertinggi negara itu yang ternyata membawa perubahan kepada pembangunan di kawasan Manir khususnya dalam membela nasib masyarakat dan umat Islam.

Beliau berkata, dua peruntukan yang diluluskan Kerajaan Pusat itu membuktikan Barisan Nasional sebuah kerajaan yang sentiasa mengotakan janji dan menitik beratkan soal kebajikan serta pembelaan rakyat tanpa `memilih bulu’ dan kawasan.

Katanya, penduduk DUN Manir harus membuka mata dan hati mereka untuk menilai segala perancangan dan realiti yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional sejak dulu lagi, sekaligus menolak parti pembangkang yang tidak pernah menunaikan janji kerana mereka melontarkan janji kosong hanya sekadar meraih undi pada pilihan raya semata-mata.