Halaman

05 May 2011

UMT berjaya tarik 100 pelajar dari luar negara

Oleh: Esah Abdullah


UMT turut menerima sumbangan zakat daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM32,579.33.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui pelbagai tranformasi yang hebat telah berjaya menarik minat pelajar dari luar negara untuk datang belajar di sini.

“Setakat ini 100 pelajar antarabangsa daripada China, Bosnia Herzegovina, Yaman, Thailand, Indonesia, Kanada, United Kingdom, India, Pakistan dan Sri Lanka telah memulakan pengajian mereka di UMT,” kata Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman.

Beliau yang ditemui di majlis Gerak Ceria (GC) Sempena 10 Tahun UMT hari ini berkata, dalam tempoh itu UMT berjaya menawarkan 25 program Pengajian Ijazah Sarjana Muda dan pengambilan pelajar telah meningkat melebihi 50 peratus.

Katanya, UMT juga berjaya dalam pelbagai pertandingan penyelidikan luar dan dalam negara dan tahun lalu sebanyak 30 anugerah telah diperolehi dalam pelbagai tujahan UMT.

Sementara itu program GC yang disertai 700 kakitangan dan pelajar itu diadakan tiga kali setahun dalam usaha UMT mengeratkan silatulrahim antara kakitangan dan pelajar serta menyuburkan amalan hidup cergas.

Pada majlis berkenaan UMT turut menerima sumbangan zakat daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM32,579.33 sebagai memenuhi tanggung jawab korporat syarikat kepada masyarakat.

Prof. Dr. Aziz Deraman berkata pihaknya akan mengagihkan sumbangan ini kepada pelajar UMT sama ada kerana kemiskinan atau didatangi musibah bagi meringankan beban mereka.