Halaman

01 May 2011

PPPM Terengganu tubuh tabung untuk beramal

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Terengganu telah berjaya memberi bantuan kewangan kepada 12 orang kanak-kanak dan bayi yang menghidap penyakit kronik melalui Tabung Amal yang diwujudkan empat tahun lalu.

Yang Dipertua PPPM Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, persatuan juga telah melancarkan Tabung bencana Tsunami di Jepun pada Mac lalu dan berjaya mengumpulkan RM40,000 dalam kutipan tersebut.

“Semua ini merupakan projek khidmat kami untuk membantu meringankan beban yang ditanggung akibat mala petaka dan musibah yang melanda masyarakat masyarakat,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang di Padang Astaka, Dungun semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua PPPM, Datin Sri Rosmah Mansor. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib; Naib Yang Dipertua PPPM, Raja Nor Mahani Raja Shahar dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd Taib.

Katanya, banyak lagi program yang dirancang termasuk mengimpikan sebuah bangunan sendiri yang akan melancarkan lagi segala bentuk operasi yang bakal dijalankan.

“Sehingga ini, persatuan sudah berjaya mendapatkan sebidang tanah di Kuala Terengganu namun kerana kekangan kewangan hasrat mendirikan bangunan masih belum tercapai dan berharap ada pihak yang sudi menghulur sumbangan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, program turun padang ini telah diadakan sejak sebulan lalu dengan pelbagai pengisian dalam usaha persatuan mendekati masyarakat khususnya golongan masyarakat nelayan di sini.

Antaranya termasuklah forum perdana, kelas iqra’, tusyen, kelas jahitan, masakan, gotong royong, sukaneka, tahlil dan ceramah kesihatan.