Halaman

07 May 2011

Kerajaan Pusat kesal cara Kelantan tangani isu tanah Orang Asli

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat kesal dengan cara kerajaan negeri Kelantan menangani kepentingan dan hak Orang Asli berhubung Ladang Rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usaha kerajaan PAS Kelantan membantu masyarakat Orang Asli negeri itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya, sebagaimana yang dilakukan negeri lain termasuk Terengganu.
"Kalau di negeri lain, banyak bantuan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam siding media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen apabila selesai kelak.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Dato’ Seri Shafei berkata isu Ladang Rakyat telah membangkitkan kemarahan Orang Asli di kawasan Gua Musang apabila mereka mendakwa tanah yang diusahakan mereka sejak puluhan tahun lalu diambil oleh kerajaan negeri itu untuk dibangunkan sebagai Ladang Rakyat yang diusahakan pihak swasta.