Hasil perkahwinan dengan Abdullah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Zulfaqar, 13 bulan.
Angkara terpedaya dengan janji manis lelaki Lombok, Indonesia seorang wanita beranak empat dari Kampung Nibong, Kuala Terengganu terpaksa berdepan dengan kegetiran dan kedaifan hidup hampir dua tahun berada di kepulauan itu selepas ditinggalkan lelaki berkenaan tanpa khabar berita.
Harlizan Ibrahim, 36, nekad meninggalkan keluarga dan mengikut Abdullah Asbi, 40, seorang pekerja ladang kelapa sawit di Sungai Tong, Setiu yang dikenalinya kira-kira tiga tahun menerusi seorang kenalannya untuk bersama lelaki berkenaan dan menetap di Kampung Gubuk Baru, Permatang Narmada (Lombok).
Setibanya di kepulauan itu, Harlizan mengambil keputusan mengahwini kekasihnya itu tanpa pengetahuan keluarga di kampung, kecuali memaklumkan pemergiannya kepada ibunya. Hasil perkahwinan dengan Abdullah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Zulfaqar, 13 bulan.
Harlizan sebelum itu sudah memiliki tiga anak lelaki berusia enam hingga 17 tahun hasil perkahwinan pertama dan kesemua anak-anak berada di bawah jagaan bekas suaminya di Terengganu.
“Saya nasihatkan adik-adik dan saudara-saudari yang ada perasaan cinta kepada warga asing terutama orang Indonesia jangan sampai terpedaya dan membawa diri ke negara mereka kerana apa yang saya lalui ini cukup perit dan menderita sepanjang di sana.
“Dia (Abdullah) hanya janji kosong sahaja. Katanya memiliki rumah besar, banyak harta, kebun dan sawah, selain berjanji mahu sama-sama menjalankan perniagaan apabila berada di sana nanti. Tetapi sebenarnya harta itu milik bapanya, malah sudah dijual kesemuanya kepada keluarga yang lain, “ katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki. Misi membawa pulang Harlizan dan anak bongsunya itu berjaya diselesaikan hasil inisiatif Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu dengan kerjasama Biro Pengaduan Komuniti Umno Malaysia.
Berkongsi pengalaman di kepulauan itu, Harlizan berkata, deritanya semakin bertambah apabila sejak Januari tahun lalu, Abdullah yang mendakwa mahu kembali ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan dikatakan berada di Pahang gagal dihubungi menyebabkan wanita itu terpaksa mengharapkan ehsan keluarga mertua selain menumpang berteduh di rumah abang iparnya.
“Saya terpaksa menjual semua barang kemas saya untuk menyara kehidupan dan kegunaan anak yang baru dilahirkan selepas suami gagal dihubungi dan tiada sumber kewangan untuk hidup di sana,” katanya lagi.
Akibat desakan hidup, Harlizan akhirnya menyerah diri kepada polis berikutan visanya yang sudah tamat, sementara pasportnya pula hampir tamat tempoh. Dia kemudiannya ditempatkan di pusat perlindungan keluarga, Pati Asuhan Budirini di Mentaram, Lombok.
Dalam pada itu, usaha membawa pulang Harlizan dan anaknya ketika itu terpaksa mengambil masa beberapa bulan bagi menyelesaikan urusan dokumentasi kerana pihak berkuasa Indonesia mahu mengambil anak kecil itu sebagai anak angkat berikutan taraf kerakyatannya di negara itu.
Selepas kira-kira lima bulan, Zulfaqar akhirnya mendapat kewarganegaraan Malaysia selain berjaya memperolehi sijl kelahiran negara ini yang melayakkannya dibawa pulang ke tanah air tanpa sebarang sekatan.
Sementara itu, Encik Badrol berkata, sepatutya urusan membawa pulang Harlizan dan anak kecil itu pada Jumaat lalu, bagaimanapun ditangguhkan keesokkan harinya akibat masalah kesihatan Harlizan di saat-saat akhir waktu jadual penerbangan dari kepulauan itu.
Mereka selamat tiba dengan menaiki bas di bandar ini, kira-kira jam 5.30 pagi semalam selepas berangkat dari kepulauan itu ke Kuala Lumpur kira-kira jam 5.30 petang kelmarin (Ahad).