Halaman

07 May 2011

Pindaan Akta 134 perkasa hak Orang Asli

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat akan memastikan pindaan Akta 134 yang melibatkan kepentingan dan hak Orang Asli yang bakal dibentang di Parlimen disusun secara rapi dan terperinci selepas mendapatkan pandangan dan persetujuan semua negeri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal, berkata langkah menyusun semula Akta 134 mengenai hak tanah masyarakat Orang Asli membolehkan kerajaan melaksanakan peraturan yang lengkap dan tersusun, selain boleh digunapakai bukan hanya hari ini, tetapi juga pada masa depan.

“Masalah berkait dengan tanah yang berhubung kait dengan hati dan jiwa masyarakat Orang Asli dan saya akan pastikan ia dipertimbangkan sebaik mungkin. Beberapa negeri sudah bersetuju dengan beberapa pandangan yang akan dibawa ke pengetahuan Majlis Tanah Negara,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Menteri Besar,Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas kementerian mengadakan mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dato’ Seri Shafei berkata, dalam menangani isu tanah golongan itu, semua pihak harus menyedari hakikat tuntutan yang ada serta keterbatasan jumlah tanah di sesetengah negeri yang perlu kepada pertimbangan dan realiti sebenar.

“Bagaimanapun, sebahagian besar yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli ini akan kita laksanakan. Selepas berbincang dengan lima negeri ini, tidak menjadi masalah sangat tetapi tidak boleh diperincikan sekarang selagi tidak membawanya kepada Majlis Tanah Negara , selepas itu kita akan memperhalusi akta (Akta 134) itu,” katanya.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Katanya, kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam menyediakan akta ini supaya tidak menimbulkan masalah kepada golongan itu serta peringkat kerajaan negeri.

“Kuasa tanah (Orang Asli) bukan terletak kepada Kerajaan pusat, tetapi kuasa kerajaan negeri dan kita pohon supaya ada persetujuan dan pandangan lain sebelum kita menyiapkan akta itu,” katanya lagi.