Halaman

25 August 2011

Sidang Media Mesyuarat Exco 24 Ogos 2011 (LPT 2)

KILK GAMBAR UNTUK LIHAT VIDEO




MKJR edar 1,000 risalah kempen keselamatan jalan raya

Oleh: Amirullah Othman



Setiap kali menjelang musim perayaan, kempen keselamatan jalan raya turut menjadi agenda penting Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kadar kemalangan agar tidak ramai yang terkorban.

Di atas kesedaran itu, pihak keselamatan termasuk polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri saling bekerjasama menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Sempena Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat peringkat negeri Terengganu kali ini, Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengagihkan lebih 1000 risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya berhampiran Dataran Budaya Pantai Kelulut, Marang, petang semalam.

Kempen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

Selain bagi mengurangkan kadar kemalangan, pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya juga mendesak Kerajaan Negeri dan agensi penguat kuasa tersebut untuk melipatgandakan usaha bagi menguatkuasakan peraturan melalui kempen seumpama itu.

Kempen ini secara tidak langsung membuktikan masalah keselamatan jalan raya adalah antara agenda penting dalam pembangunan negeri apabila kerajaan mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk dalam mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.



DUN Ru Rendang anjur majlis berbuka puasa

Oleh: Amirullah Othman



Kira-kira 400 orang terdiri daripada jawatankuasa cawangan-cawangan Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi jasa-jasa pemimpin Umno daripada 31 cawangan DUN berkenaan, khususnya dalam usaha menarik lebih ramai penyokong parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Majlis itu juga dirancang bagi mengeratkan tali silaturahim antara pemimpin DUN dan cawangan.

Sementara itu, malam ini Tuan Haji Nik Dir akan mengadakan majlis berbuka puasa bagi penduduk setempat dan 100 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Program ini dijangka turut dihadiri oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Puan Noorhayati Zaman serta pemimpin-pemimpin masyarakat.




Hasrat 265 peneroka dapat hak milik jadi kenyataan

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 265 peneroka dari kawasan Felda Kertih II, Dungun bersyukur selepas penantian hampir 29 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya menjadi kenyataan.

Suratan hak milik tanah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada satu majlis di Dewan Sivik Felda Kertih II, petang semalam.

Lebih menggembirakan, sebahagian besar penerima hak milik berkenaan merupakan peneroka asal yang mula memasuki ladang sawit seluas 1,499 hektar itu pada 15 Oktober 1982.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, hak milik tersebut merupakan satu ‘anugerah’ yang mempunyai nilai tinggi selepas peneroka berhempas pulas membangunkan tanah terbabit.

Menurut beliau, tanah yang diterima mereka itu merupakan jaminan masa hadapan, bukan hanya untuk generasi pertama, tetapi generasi kedua, ketiga dan seterusnya.

“Setiap peneroka dan anak peneroka perlu menilai perit serta kepayahan sewaktu mula-mula meneroka kawasan Felda agar dapat menanamkan sifat keinsafan di dalam diri,” katanya.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Daerah Dungun, Dato’ Mustaffa Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Mohd. Ariffin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Dr. Rosli Mat Hassan.

Sebelum itu, ketibaan Menteri Besar dan isteri telah diarak oleh lebih 50 peserta konvoi bermotosikal sejauh kira-kira tiga kilometer.

Felda yang mula diterokai oleh 321 peserta itu kini mempunyai 3,076 orang penduduk termasuk 142 orang usahawan manakala 195 orang anak peneroka terlibat dalam kerjaya profesional dan 90 orang telah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, pemberian itu merupakan satu rahmat dan hadiah sempena kedatangan bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Jagalah tanah ini elok-elok untuk anak-anak dan cucu-cicit kita. Nak dapat geran bukannya mudah kerana kita perlu menunggu lebih 20 tahun dan ada yang telah meninggal dunia.

"Gunakan tanah ini sebaik mungkin, jangan dicagarkan atau dijual pada orang lain," kata Dato’ Seri Ahmad.


Pasukan Terengganu nekad genggam Piala Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Terengganu berhasrat untuk memadamkan rekod 10 tahun gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagi merealisasikan impian itu, Ketua Jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim berkata skuad Penyu perlu berusaha lebih keras apatah lagi pasukan itu berhadapan dengan pasukan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby.

Pertembungan empat pasukan yang disenaraikan dalam kumpulan B itu memerlukan skuad kendalian Irfan Bakti membaca rentak permainan serta tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan.

Katanya biarpun baru dinobatkan juara Piala FA, anak buahnya perlu menampilkan persembahan yang hebat dan mencipta kemenangan jika ingin berada dalam keadaan lebih selesa dalam kumpulan.

"Saya sering kali mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah dengan kebolehan lawan jika ingin memadamkan rekod 10 tahun tidak layak ke final Piala Malaysia," katanya.

Ditambah dengan pengalaman tujuh pemain yang terpilih dalam pasukan kebangsaan, Irfan Bakti yakin tahun ini ialah tahun terbaik untuk Terengganu menjuarai Piala Malaysia.

Setakat ini, pencapaian terbaik pasukan Terengganu adalah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam Piala Malaysia.


Sekitar Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Peneroka Felda Kerteh 02






















24 August 2011

185 murid Kelas Pemulihan Dalam Komuniiti (PDK) Besut terima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Murid PDK Jertih bergambar kenangan bersama Jawatankuasa Puteri UMNO Dun Jertih selepas menerima hamper di kelas itu hari ini.

Seramai 185 murid yang mengikuti pelajaran di Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dari empat kelas di daerah Besut tidak pernah diabaikan sebaliknya mereka juga turut diberi perhatian dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Puteri Umno Bahagian Besut, yang bersimpati dengan nasib mereka turun padang untuk menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan kepada semua pelajar terbabit yang juga dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelajar yang menerima sumbangan ialah dari PDK Kuala Besut, PDK Kampung Raja, PDK Felda Tenang dan PDK Jertih.

Ketua Puteri Umno Bahagian Besut, Che Senah Sulaiman berkata, ahli jawatankuasa Puteri di kawasan terbabit diarah turun padang dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar di kelas masing-masing.

Katanya, golongan OKU menjadi sasaran pertubuhan itu untuk diberi bantuan dan sumbangan sempena menyambut Ramadan tahun ini.

Selain itu,katanya Puteri juga telah mengadakan pogram menziarah pesakit yang dirawat di hospital Besut baru-baru ini dan mengagihkan hamper berbentuk barangan dan wang.

“Semua sumbangan berkenaan disediakan atas dasar keinsafan dan membantu golongan yang tidak bernasik baik,” katanya.

Beliau berkata, Puteri Umno Besut juga akan menjayakan pengagihan bubur lambuk percuma kepada orang ramai yang akan diadakan pada 28 Ogos di hadapan Taman Selera Jertih semepena pulangnya perantau ke negeri ini menjelang hari raya.



Perlu serah borang permohonan dalam tempoh 3 bulan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri meminta Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini menyerahkan borang permohonan pertukaran syarat tanah kepada Majlis Mesyuarat Ahli-ahli Kerajaan negeri selewat-lewatnya tiga bulan dari tarikh permohonan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sepanjang tujuh bulan pertama bagi tahun ini , sebanyak 613 permohonan mendapat kelulusan . Manakala jumlah yang ditolak di atas sebab-sebab tertentu pula mencatatkan 54 permohonan.

“Bagi permohonan tanah haram mencatatkan jumlah lulus sebanyak 344, ditolak (55); rancangan tanah berkelompok (8 lulus) dan tiada tanah jenis itu ditolak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini (24 Ogos.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, sebahagian daripada LPT2 mula dibuka sejak dua hari lalu (22 Jun) bagi mengelakkan kesesakan jalan biasa dari Bukit Besi ke Kuala Terengganu, sempena musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, jalan yang dibuka itu ialah Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer, Telemong –Bukit Payong (10.6 kilometer) dan Bukit Payong – Gemuroh (16.3 kilometer).

“Apabila siap sepenuhnya lebuh raya tersebut akan mempunyai 10 lokasi punggutan bayaran tolberikutan jajaran LPT 2 itu mempunyai 10 persimpangan bertingkat bermula dari Jerangau Jabor ke Gemuroh,” katanya.


11 Pegawai bertukar

Oleh: Esah Adullah

Seramai 11 orang pegawai kanan kerajaan negeri pelbagai jawatan akan bertukar yang berkuatkuasa mulai 1 September depan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, menyenaraikan Pengarah Trevicosta Terengganu, Dato’ Haji Wan Zahari Wan Ngah ditukar ke jawatan baru sebagai Pengarah Bekalan Air Terengganu bagi mengisi kekosongan.

Manakala Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Marang, Encik Ibrahim Mohamad bertukar ke daerah Besut dan menjawat jawatan yang sama serta tempatnya di Marang diisii oleh Encik Zulkifli Ali yang sebelumnya adalah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Majlis & Protokol).

Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Encik Ab. Rasid Jusoh berpindah ke jawatan baru sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Majlis & Protokol) mengantikan tempat Encik Zulkifli Ali.

Penolong Kanan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) (Hasil), Encik Wan Saifullizam Wan Jusoh akan bertukar ke Dungun selaku Penolong Kanan Pegawai Daerah(Pembangunan Fizikal) dan Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu, Encik Hamidi Othman bertukar ke Hulu Terengganu sebagai Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pembangunan Tanah dan Pelupusan).

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu), Encik Nik Mohd Syahrom Nik Md. Hashim pula menjadi Pengurus Unit Promosi dan Pengurusan Acara Pejabat Setiausaha Kerajaan dan tempat beliau di diisi oleh Encik Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil yang sebelumnya adalah Penolong Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Dungun, Tuan Syarifah Khairunzita Tuan Kechil bertukar ke jawatan yang sama di Hulu Terengganu untuk mengisi kekosongan dan berkuatkuasa 4 September.

Penolong Pengarah (Promosi) Unit Pengurusan Maklumat Terengganu (UPEN), Encik Hilman Hajijan bertukar ke Kemaman selaku Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) manakala Penolong Pentadbir Tanah (Penguatkuasaan dan Hasil) Besut, Encik Mohd Kamal Abdul Rahman ke jawatan Penolong Pengarah (Promosi) UPEN.





Orang muda jangan tunjuk hebat di jalan raya

Oleh; Esah Abdullah

Penunggang motosikal diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memandu secara berhemah ketika pulang berhari raya ke kampung masing-masing yang akan bermula minggu depan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, setiap tahun penunggang motosikal menjadi penyumbang terbesar terhadap kemalangan yang berlaku.

“Bila sebut penunggang motosikal, ia akan dikaitkan dengan orang muda yang lebih selesa menggunakan kenderaan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman setiap tibamusim perayaan atau cuti umum,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kemalangan boleh dikurangkan jika setiap individu itu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak terburu-buru untuk cepat sampai ke detinasi.

Beliau kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di mana ramai yang jadi korban di jalan raya.

“Saya menyeru orang muda agar berhati-hati ketika memandu serta tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk mempamirkan kehebatan dan ingatlah orang tersayang yang sentiasa mengharapkan kepulangan kita dalam keadaan selamat,” katanya.