Halaman

24 August 2011

Orang muda jangan tunjuk hebat di jalan raya

Oleh; Esah Abdullah

Penunggang motosikal diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memandu secara berhemah ketika pulang berhari raya ke kampung masing-masing yang akan bermula minggu depan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, setiap tahun penunggang motosikal menjadi penyumbang terbesar terhadap kemalangan yang berlaku.

“Bila sebut penunggang motosikal, ia akan dikaitkan dengan orang muda yang lebih selesa menggunakan kenderaan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman setiap tibamusim perayaan atau cuti umum,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kemalangan boleh dikurangkan jika setiap individu itu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak terburu-buru untuk cepat sampai ke detinasi.

Beliau kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di mana ramai yang jadi korban di jalan raya.

“Saya menyeru orang muda agar berhati-hati ketika memandu serta tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk mempamirkan kehebatan dan ingatlah orang tersayang yang sentiasa mengharapkan kepulangan kita dalam keadaan selamat,” katanya.