Halaman

26 August 2011

Majlis berbuka puasa pekerja Pos Malaysia meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Pekerja dan pesara Pos Malaysia Besut menghadiri majlis berbuka puasa.

Bulan Ramadan biasanya hari paling gembira kepada kakitangan kerajaan dan sektor lain kerana tidak menghadapi beban tugas yang banyak berbanding bulan biasa menyebabkan peluang untuk berehat adalah lebih banyak kerana kurangnya berurusan dengan orang ramai.

Bagaimanapun perkara itu tidak dirasai sebahagian besar pekerja Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) kerana bulan puasa biasanya beban kerja di syarikat berkenaan adalah lebih banyak dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai suasana.

Petugas dibahagian serahan (Posmen) biasanya terpaksa memikul beban tugas lebih berat berbanding hari biasa kerana jumlah mel untuk diserahkan kepada penerima bertambah banyak.

Malah, ada sesetengah kawasan di negeri ini posmen penyerahan terpaksa menjalankan tugas seperti biasa pada hari Jumaat dan cuti umum kerana ingin menyampaikan kiriman dari seseorang kepada penerima.

Selepas penat menjalankan tugas harian pekerja Pos tidak ketinggalan menganjurkan majlis berbuka puasa sebagai tanda kesyukuran dan ingin menjalinkan kemesraan antara mereka sempena bulan mulia Ramadan.

Berikutan itu, Persatuan Kebajikan Islam Pos (PKIP) cawangan Terengganu, menganjurkan majlis berbuka puasa untuk kakitangan Pos Malaysia di daerah Besut dan Setiu bertempat di perkarangan Pejabat Pos Jertih, semalam.

Kira-kira 80 pekerja Pos termasuk 20 pesara syarikat itu diundang khas bagi memeriahkan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh pengurusan kanan Pos Malayisa Negeri Terengganu.