Keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim selepas mendapat baju raya.
Ketibaan Syawal tahun ini begitu bermakna kepada 98 anak-anak yatim fakir miskin dari Asrama Darul Akhyar, Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian masing-masing di Pasar Raya Kamdar petang semalam.
Asrama ini di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang mula beroperasi pada Jun lalu, dengan pengambilan kumpulan pertama 98 pelajar (58 lelaki dan 40 perempuan)tingkatan satu hingga empat dari seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya membelanjakan RM10,000 untuk membeli pakaian raya termasuk kasut, tudung (perempuan) dan songkok (lelaki)tahun ini.
Kegembiraan jelas terbayang pada wajah mereka dan rata-rata yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang memilih pakaian kegemaran masing-masing utuk dipakai pada hari raya minggu depan.
Eifa Mariana
Adik Eifa Mariana Awang, 13, dari Kampung Kerteh, Kemaman menyatakan rasa seronok dan teruja dapat memilih sepasang baju kurung untuk dipakai pagi raya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit ini merupakan anak kedua daripada empat beradik dan kematian ayah ketika berumur lapan tahun.
“Saya tidak sabar nak balik beraya ke kampung bersama emak dan adik beradik lain,” katanya yang mula tinggal di asrama ini sejak Jun lalu.
Adik Nor Salehah Yusof, 13, dari Kampung Bukit Berangan, Tepoh juga tidak sabar nak balik kampung dan tunjukkan baju baru kepada emaknya.
Nor Salehah
Nor Salehah merupakan anak bongsu daripada empat beradik, tidak sempat mengingati wajah ayahnya kerana dia kehilangan orang tersayang ketika berusia satu tahun.
“Saya tidak sedih kerana ada emak dan adik beradik dan paling seronok dapat ramai kawan sejak tinggal di Asrama Darul Akhyar,” katanya ceria.
Che Nasrul Hafizi
Adik Che Nasrul Hafizi, 13, dari Kampung Darat, Batu Rakit juga tidak melepaskan peluang memilih sepasang baju Melayu untuk dipakai pagi hari raya nanti.
“Raya tahun ini lebih bermakna dan seronok kerana diberi peluang memilih pakaian bersama rakan sekolah,” katanya yang baru dua bulan tinggal di asrama berkenaan.