Petugas APMT sedang membuat semakkan bayaran kepada penerima dana khas hari raya
Seramai 7,970 golongan miskin, warga emas,ibu tunggal, duda dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, menerima duit raya menerusi Dana Khas bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.6 juta bagi pembayaran dana berkenaan di DUN terbabit tahun ini.
Katanya, jumlah penerima dana khas di kawasan berkenaan juga semakin meningkat berikutan pertambahan mereka yang layak menerimanya berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, pengagihan dana itu kepada penduduk di DUN Kuala Besut bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib rakyat yang memerlukan bantuan terutama bagi menyambut hari raya.
Menurutnya, proses pembayaran pada kali ini berlaku sedikit perubahan apabila tugas itu dialankan sendiri oleh petugas Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) selain dibantu anggota Polis dan Rela.
“Sebelum ini tugas membuat pembayaran dilakukan oleh kakitangan bank dan Pejabat Daerah,” katanya.
Dr Rahman berkata, pada tahun hadapan kerajaan negeri bercadang untuk membayar dana khas kepada mereka yang layak lebih awal sedikit bagi membolehkan mereka membuat persiapan hari raya lebih sempurna.
Menurutnya, rakyat Terengganu beruntung kerana setiap menjelang sambutan Aidilfitri golongan terbabit akan mendapat sumbangan daripada dana yang diujudkan kerajaan sejak 2004.