Sambutan Aidilfitri kali ini pasti menjadi saat cukup menggembirakan buat 120 anak yatim dari Parlimen Kuala Nerus apabila mereka dibawa membeli baju raya oleh Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu, semalam.
Anak yatim dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teluk Pasu, Tepuh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir itu diberikan baucer RM100 seorang sumbangan Pasaraya Giant Kuala Terengganu untuk membeli baju raya di pasaraya berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus, Apli Yusof berkata, peruntukan tersebut adalah sumbangan Pasaraya Giant manakala majlis berbuka puasa di T'Cafe D'Muara, Losong, di sini ditaja oleh kedua-dua pergerakan itu.
"Anak yatim yang kebanyakkannya masih di bangku sekolah ini dipilih 30 orang dari setiap DUN dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu.
"Selain diberi kesempatan membeli baju raya bersama Ketua Pemuda dan Puteri Cawangan masing-masing, anak-anak yatim ini turut mendapat sumbangan hamper raya," katanya.
Turut meraikan anak-anak yatim dalam Program Cakna Aidilfitri itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd. Nasir Ibrahim Fikri yang sempat meluangkan masa kira-kira sejam melayan kerenah mereka memilih pakaian.
Turut hadir, Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Aida Azam dan Pengurus Besar Pasaraya Giant Kuala Terengganu, Ahmad Tajuddin Zakaria.
Tambah Apli, program itu diharap dapat menceriakan anak-anak yatim tersebut yang dilihat kurang mendapat perhatian berbanding mereka yang tinggal di asrama atau rumah kebajikan.
"Kita amat berharap anak-anak yatim ini dapat merasai kemeriahan dan semangat Aidilfitri walaupun tidak dapat meraikannya bersama insan tersayang," ujarnya.