Halaman

23 August 2011

Bangunan Asrama Darul Akhyar ditambah tahun depan

Oleh; Esah Abdullah


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu merancang untuk membesarkan bangunan Asrama Darul Akhyar di bawah kelolaannya yang terletak di Kampung Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, asrama yang menempatkan anak yatim fakir miskin dari seluruh negeri ini mula beroperasi Jun lalu mempunyai dua blok asrama lelaki dan perempuan, kantin, surau dan rumah warden.

“Maidam merancang untuk menambah bangunan blok untuk menempatkan lebih ramai pelajar anak yatim di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama anak yatim memilih pakaian raya di Pasar Raya Kamdar petang semalam.

Katanya, Maidam membelanjakan RM4.3 juta di bawah Asnaf Fisabilillah bagi menyiapkan bangunan asrama di kawasan seluas dua hektar yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah.

Menurutnya, semua kos operasi termasuk elaun 15 kakitangan asrama, perbelanjaan harian pelajar, yuran sekolah, bas, duit saku ditanggung sepenuhnya oleh pihak Maidam.

“Maidam telah membelanjakan RM30,000 sebulan untuk pelbagai keperluan harian pelajar di asrama berkenaan,” katanya.

Katanya, Maidam akan berusaha menambahbaik prasarana termasuk menyediakan perpustakaan, gelanggang sukan serta kawasan riadah bagi menjadikan asrama ini sebuah pusat pengajian dan kebajikan anak yatim yang terbaik.

“Kita juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak lain seperti badan korporat dan individu untuk menghulur sumbangan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan yang terbaik,” katanya.