Rustam Naman, 54
“Saya bersama ahli keluarga lain pasti tidak ketinggalan memasang ratusan pelita raya yang diperbuat daripada barang buangan setiap kali menjelang Ramadan.
“Tradisi itu sememangnya memberi keseronokan buat kami sekeluarga yang ingin melihat perkarangan dan laluan ke kediaman diterangi cahaya pelita dan nyalaan `damar raya’,” kata seorang peserta Rustam Naman, 54 dari Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu.
Beliau yang sudah 11 tahun mengekalkan tradisi itu berkata, dia tetap memasang pelita walaupun tiada pertandingan dianjurkan pihak tertentu kerana banyak manfaat diperoleh daripadanya termasuk mampu menjalin hubungan lebih rapat antara penduduk kampung dan ahli keluarga.
Katanya, 780 pelita yang diperbuat daripada tempurung `nyiur’, bekas minyak, botol minuman dan tin makanan dipasang mengikut kerangka buluh kapal layar.
“Saya sambil dibantu isteri, Ettam Sulong dan anak-anak mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan kerangka dan ratusan pelita ini sebelum dapat dipasang di hari pertandiangan.
“Peryertaan kali ini cukup memuaskan hati kerana bukan dapat perhatian ramai termasuk warga asing malah mampu menaikkan imej kampung di serata tempat,” katanya yang membelanjakan hampir RM500 untuk peryertaan pertandingan itu.
Kamal Mohd Nawawi, 20
Seorang lagi peserta, Kamal Mohd Nawawi 20, berkata dia memilih konsep 1Malaysia, Merdeka dan Salam Lebaran pada kerangka buluh yang diciptanya bersama bapa, Mohd Nawawi Tahir pada pertandingan kali ini.
Katanya, idea untuk mencipta kerangka itu tercetus selepas melihat beberapa keping gambar di akhbar dan menciptanya sendiri tanpa bantuan orang berpengalaman.
“Hasil ciptaan kali ini dirasakan cukup memuaskan hati saya dan ahli keluarga berbanding empat kali penyertaan sebelum ini kerana dapat menggabungkan suasana lebaran dan merdeka,” katanya.
“Saya mengharapkan hasil kreativiti yang dicipta kali ini mendapat nombor yang lebih baik daripada tahun sebelumnya di mana pernah menduduki tempat kedua kategori individu,” katanya.