Halaman

27 August 2011

Usah tipu dokumen untuk dapat bantuan


Oleh: Suriati Ali




Yayasan Terengganu (YT) mengesan tindakan sesetengah pihak yang memalsukan surat tawaran ke pusat pengajian tinggi dan butiran kad pengenalan bagi mendapatkan bantuan persediaan belajar.

Sehingga ini, YT mengenal pasti lapan kes yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang bertujuan mendapatkan bantuan itu yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi kemudahan mereka yang ditawarkan memasuki pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Yayasan Terengganu, Encik Mohd Razali Mahmud, ketika mendedahkan kegiatan tidak bertanggungjawab itu, berkata pihaknya kesal kerana ada segelintir indivivu di negeri ini sanggup memalsukan dokumen tawaran ke institusi pengajian tinggi serta kad pengenalan diri semata-mata mahukan duit bantuan belajar berkenaan.

Katanya, terdapat lapan individu berasal dari Marang dan Dungun dikesan sanggup memalsukan surat tawaran belajar dan meminda butiran yang terkandung dalam kad pengenalan bagi mendapatkan bantuan berkenaan.

“Pihak kami dapat mengesannya selepas membuat semakan kali kedua melalui pihak tertentu termasuk Jabatan Pendaftaran.

“YT terpaksa membuat laporan polis selepas dapat menemui bukti kukuh mengenai kesalahan yang dilakukan dan mereka akan dibicara di Mahkamah pada September ini,” katanya .

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Bantuan Persediaan di Stadium Tertutup, Komplek Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini (27 Ogos).

Seramai 4,062 pelajar yang bakal menyambung pelajar ke peringkat ijazah menerima wang tunai membabitkan jumlah keseluruhan RM4.6 juta di mana setiap pelajar menerima RM1,000 seorang.



Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah YT, Haji Aziz Mamat, beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.

“Sebagai bukti Mohd Firdaus Samsuddin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, yang baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Bioteknologi di Imperial College, London, ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.


“Mohd Firdaus yang merupakan antara lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 terbaik di peringkat kebangsaan, ditawarkan mengikuti pengajian peringkat sarjana di bidang Sains Biochemistry di universiti berkenaan,” katanya.

Katanya, manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di University Of Cambridge, London, akhir September ini,” katanya ketika berucap di majlis itu.

“Itu antara contoh mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan, manakala ahli sukan yang berjaya mengharum nama Terengganu pula adalah Mohd Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustafa,” katanya.